Politik

Rafiq letak jawatan Pengerusi PN, Ketua Bersatu Melaka

DATUK Mohd Rafiq Naizamohideen mengumumkan peletakan jawatan serta merta sebagai Pengerusi Perikatan Nasional Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka.

Mohd Rafiq yang kalah dalam Pilihan Raya Negeri Melaka Sabtu lalu berkata, beliau akan menyerahkan surat rasmi peletakan jawatan esok kepada Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, peletakan jawatan itu akan memberikan kepimpinan baharu masa yang mencukupi bagi membuat perancangan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Saya ingin memohon jutaan kemaafan atas segala kekhilafan sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Pengerusi PN Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka.

“Peletakan jawatan ini bagi memberi peluang kepada kepimpinan baru untuk mengetuai Bersatu Melaka dan PN Melaka supaya mempunyai masa yang mencukupi bagi membuat segala persiapan bagi menghadapi PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, peletakan jawatan tersebut juga membolehkan beliau memberikan fokus untuk memperkukuhkan kedudukan dan sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional di Parlimen Tangga Batu dan Bersatu Bahagian Tangga Batu.

Pelepasan jawatan itu juga membolehkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab sebagai Naib Presiden Bersatu menjelang PRU-15.

“Saya berharap dan berdoa agar rakyat Melaka dan rakyat Malaysia dapat terus memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan moga-moga Perikatan Nasional akan mencapai kejayaan yang cemerlang pada PRU-15 yang bakal tiba nanti,” katanya.

Pada PRN Melaka yang lalu Mohd. Rafiq tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas. Beliau memperolehi 3,148 undi tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang mendapat 4,759 undi.

Perikatan Nasional yang merupakan gabungan Bersatu, Pas dan Gerakan hanya menang dua kerusi DUN pada PRN tersebut.-SM

(Visited 409 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button