Politik

Warisan Plus mendahului PRN Sabah, boleh menang di 23 kerusi

FIRMA penyelidikan bebas ILHAM Centre mendakwa parti Warisan Plus ketika ini mendahuli Pilihaan Raya Negeri Sabah kerana mempunyai 23 kerusi selamat yang boleh dimenangi oleh parti itu.

Manakala lawannya Gabungan Rakyat Sabah yang turut dianggotai parti-parti dalam Perikatan Nasional dan Barisan Nasional pula mempunyai 19 kerusi selamat.

Selebih 31 kerusi Dewan Undangan Negeri yang lain menjadi rebutan semua pihak termasuk calon Bebas dan parti lain.

“Kerusi dalam kategori 50-50 ini merupakan penentu kepada mana-mana pihak untuk mencukupkan jumlah majoriti mudah sebanyak 37 kerusi bagi membentuk Kerajaan Negeri yang baharu.

“Daripada 31 kerusi kategori 50-50 ini, terdapat 14 bilangan kerusi yang cenderung kepada Warisan Plus berbanding 5 kerusi yang cenderung kepada GRS manakala 12 kerusi yang betul-betul sengit sehingga tidak dapat ditelah,” kata Ilham Centre dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun firma penyelidikan bebas itu tidak menyenaraikan  kerusi yang boleh dimenangi oleh Warisan Plus dan GRS.

Katanya, PRN masih lagi menjadi medan yang terbuka bagi PRS dan Warisan Plus sehinggalah peti undi ditutup pada jam 5.30 petang esok.

Ilham Centre telah melakukan tinjauan melalui pasukan penyelidikannya yang bermula seminggu sebelum hari penamaan calon iaitu 8 September sehingga 24 September lalu.

“Kami mendapati pilihan raya kali ini merupakan pilihan raya yang paling sukar dan paling mencabar untuk membuat bacaan dan prediksi.

“Sengitnya pertembungan ini umpama 73 pilihan raya kecil yang berlangsung serentak di seluruh Sabah kerana perbezaan pola pengundian di setiap DUN.

“Sukar untuk memilih sesuatu angkubah dan konseptual untuk digeneralisasikan bagi keseluruhan DUN di sini. Setiap DUN mempunyai angkubah dan konseptual yang tersendiri,” katanya.

Katanya, mana-mana pihak yang berjaya memberi imbuhan dan pujukan kepada pengundi pada saat-saat akhir mampu menjadi faktor kemenangan kepada pihak mereka.-SM

(Visited 318 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button