
Waris Jual Tanah Wakaf Masjid Jamek Kepada Bukan Islam Tanpa Pengetahuan
UMAT Islam dikejutkan dengan berita memilukan apabila sebahagian tanah wakaf Masjid Jamek Al-Ridzuan, Alor Pongsu, Bagan Serai Perak, didakwa telah dijual kepada individu bukan Islam oleh waris kepada pewakaf asal. Perkembangan ini mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan masyarakat setempat dan pencinta institusi masjid.
Tanah seluas 0.61 hektar itu bukan sekadar tapak kosong, malah menempatkan struktur penting termasuk dewan muslimat, tandas wanita serta lebih 30 buah pusara. Kini, pemilik baharu menuntut agar kawasan itu dikosongkan atau dibeli semula dengan nilai mencecah RM1.8 juta, sekali gus mengancam kewujudan fizikal dan simbolik institusi masjid itu sendiri.
Masjid Jamek Al-Ridzuan yang mula dibina pada tahun 1931 hasil sumbangan penduduk kampung telah berkembang sebagai pusat keagamaan utama di kawasan Bagan Serai. Ia bukan sekadar rumah ibadah, malah menjadi lokasi persinggahan utama pengguna Lebuhraya PLUS selepas pembukaan Tol Alor Pongsu.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Perak mengambil langkah proaktif dengan mengumumkan bahawa sebahagian kutipan derma solat Jumaat dari seluruh negeri akan digunakan untuk menebus semula tanah tersebut. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, menjelaskan kutipan derma solat Jumaat dianggarkan mencecah RM5 hingga RM7 juta sebulan, dan peruntukan akan disalurkan bagi menyelamatkan tanah wakaf berkenaan.
“Ini bukan soal politik atau kepentingan individu, ini soal maruah umat Islam dan amanah terhadap wakaf yang telah ditinggalkan,” katanya dalam kenyataan media.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang terus ke akaun rasmi masjid seperti berikut:
Bank Islam: 08077010014368
Nama Akaun: Masjid Jamek Ar-Ridzuan Alor Pongsu
Insiden ini menjadi peringatan besar betapa pentingnya urus tadbir wakaf yang telus dan kawalan ketat terhadap hak milik harta Islam. Ia juga menyerlahkan peri pentingnya solidariti umat Islam dalam mempertahankan institusi yang telah berkhidmat untuk generasi demi generasi.