Nasional

Hari Rukun Negara: Kesopanan dan Kesusilaan sebagai nadi perpaduan negara

Oleh Jennifah Noordin

TARIKH7 Julai 2020 adalah hari sambutan ulang tahun Rukun Negara Malaysia yang ke 50. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menyatakan antara objektif sambutan ini adalah untuk menanamkan nilai perpaduan dan penghayatan Rukun Negara dalam warga Malaysia. Tulisan ini ingin menyentuh tentang penghayatan generasi muda terhadap Rukun Negara Malaysia kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan”.

Pengertian: Rukun Negara Kelima Kesopanan dan Kesusilaan

Kata namaKesopanan berasal dari perkataan sopan, bermaksud nilai hormat, tata tertib, budi bahasa, tertib peraturan, beradab, segan dan baik tingkah laku. Kesusilaan pula merujuk kepada personaliti dan tingkah laku. Ia bererti setiap tutur kata dan tingkah laku seseorang individu haruslah cakna dengan nilainilai sensitiviti agama, bangsa dan budaya pelbagai masyarakat di Malaysia.

Dewasa ini, kita masih boleh berbangga atas tahap keharmonian yang berjaya dipupuk dalam kalangan warga Malaysia. Namun, masih banyak ruang untuk menjadikannya lebih baik dan utuh. Terutama dari segi penghayatan Rukun Negara kelima dalam kalangan generasi muda hari ini.

Penghayatan Dasar Rukun Negara Kelima

Dalam meninjau penghayatan generasi muda terhadap Rukun Negara kelimhari ini kita melihat masih ramai generasi muda kita tidak begitu ambil peduli tentang keperluan menjaga budi bahasa dan tutur kata mereka. Walaupun mereka ini boleh dibanggakan kerana lebih berani, terbuka dan lantang bersuara, namun dalam keberanian berbicara ada kala mereka alpa tentang adab dan sopan.

Lihat saja di media sosial. Generasi muda kini menggunakan kata-kata kesat dan kurang sopan dalam menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap isu sosial mahu pun isu semasa. Kata-kata kesat ini kemudiannya menjadi puncaperang siber di antara mereka dan tanpa disedari, ia mula menjejaskan keharmonian dalam kalangan warga Malaysia.

Baru-baru ini, tular kes ulasan terhadap makanan sebuah negeri di Malaysia. Antara lain, ini membuktikan masih ada golongan generasi muda hari ini yang gagal melihat isu perbezaan budaya di antara bangsa, agama dan negeri yang berlainan.

Mereka dengan tanpa rasa bersalah membuat jenaka terhadap budaya sesuatu bangsa dan agama. Apakah mungkin ini disebabkan mereka mempunyai definisi yang berbeza tentang kesopanan itu berbanding generasi dahulu?

Dalam pada itu, kita juga dapat melihat ada segelintir mereka yang tidak menghormati orang tua, ibu-bapa dan guru. Jika kita perhatikan dengan lebih dekat, ramai para pendidik di sekolah, institusi pendidikan dan universiti berasa terkilan dengan sikap biadab pelajar.

Masakan tidak, sepanjang perlaksanaan pembelajaran atas talian, pelajar meluahkan rasa tidak puas hati tanpa segan dan silu terhadap tugasan sekolah yang diberikan. Seolah-olah di mata mereka kepentingan nilai menghormati guru itu tidak wujud lagi.

Apa yang boleh kita lakukan?

Dalam hal ini jalan penyelesaian perlu melibatkan semua pihak sama ada ibu bapa, sekolah, majikan malah kerajaan. Maka itu, di peringkat kerajaan, demi keharmonian dan perpaduan warga Malaysia, program kesedaran dan kempen secara menyeluruh harus wajar dijadikan acara tahunan di peringkat sekolah, universiti, jabatan, taman perubahan dan peringkat kebangsaan.

Program-program akademik seperti pertandingan pidato, sajak, penulisan berkaitan Rukun Negara boleh di ketengahkan kembali. Selain itu program sosial dan santai yang mesra dengan generasi muda seperti sukan dan kemasyarakatan yang membawa tema penghayatan Rukun Negara juga boleh dianjurkan lebih kerap.

Cuma kali ini, pengunaan platform media sosial seperti Instagram, facebook dan twitter mesti digunakan dengan lebih meluas untuk menyebarkan kempen kesedaran ini.

Dicadangkan juga supaya Kerajaan memperkenalkan semula acara di mana semua pelajar diminta membaca Rukun Negara ketika perhimpunan sekolah dan dasar-dasar Rukun Negara seperti pada tahun 70-an dahulu.

Oleh kerana generasi muda ini bakal menerajui negara, maka isu ini perlu ditangani dengan serius. Insan yang penuh kesopanan dan kesusilaan pasti akan menghormati kedaulatan undang-undang, keluhuran Perlembagaan dan akan setia kepada Raja dan Negara.

Semoga sambutan ulang tahun Rukun Negara yang ke-50 ini dapat menyemai benih cinta terhadap kesopanan dan kesusilaan dalam kalangan generasi muda yang akhirnya melambangkan jati diri bangsa Malaysia kerana generasi yang peka kesopanan dan kesusilaan inilah yang akan menjadi nadi kepada perpaduan negara.

PENULIS adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, UiTM Kampus Sabah

(Visited 4,975 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button