Nasional

Warga Perantau.. Selamat Kembali Ke Tanah Air – Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengucapkan selamat kembali ke tanah air kepada semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara susulan pembukaan sempadan negara selaras dengan ‘Fasa Peralihan ke Endemik’ bermula hari ini.

Perdana Menteri turut berkongsi perasaan gembiranya dan bersyukur apabila melihat pelbagai hantaran di media sosial Keluarga Malaysia yang sangat gembira dapat pulang ke Malaysia.

Beliau menyifatkan Fasa Peralihan ke Endemik itu membawa kegembiraan kepada seluruh Keluarga Malaysia dan ia dapat menyatukan semula hubungan kasih sayang yang terpisah jauh, termasuk rakyat negara ini yang berada di Singapura.

“Setelah hampir lebih dua tahun kita berperang dengan pandemik COVID-19 dan ada yang terpaksa berjauhan dari keluarga, hari ini 1 April 2022, Malaysia berjaya membuka sempadan negara.

“Selamat kembali ke tanah air, Keluarga Malaysia yang amat saya sayangi,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Tepat jam 12 tengah malam tadi, semua pintu sempadan antarabangsa Malaysia dibuka selaras dengan Fasa Peralihan ke Endemik yang berkuat kuasa semalam.

Pembukaan sempadan itu menyaksikan rakyat Malaysia khususnya di Singapura, pulang ke tanah air, malah detik bersejarah itu dikongsikan ramai pengguna media sosial yang rata-rata sebak dan terharu dapat kembali ke kampung halaman masing-masing.

Negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik mulai hari ini dengan beberapa kelonggaran mula diberikan, antaranya pembukaan sempadan negara, premis perniagaan boleh beroperasi mengikut masa lesen perniagaan masing-masing dan tiada penjarakan fizikal semasa solat di masjid dan surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat lain.

(Visited 233 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button