PolitikRencana
Trending

Belanjawan 2021: Muhyiddin pemenang sebenar

Analisis

DALAM usaha mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan Perintah Darurat, ramai beranggapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin mengalami kegagalan moral.

Pelbagai pihak dan tokoh politik menzahirkan pandangan dari perspektif seorang Perdana Menteri gagal meyakinkan Agong.

Perintah Darurat adalah kerana kekhuatiran Muhyiddin untuk kekal berkuasa.

Sokongan Belanjawan 2021 dan usul undi tidak percaya menjadi ugutan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu bagi meletakkan jawatan Perdana Menteri.

Pelbagai persepsi mengenai kestabilan politik, bermain termasuklah dakwaan mengatakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu kehilangan sokongan dalam Dewan Rakyat.

Jika difikir secara rasional, takkanlah seorang Perdana Menteri tidak dapat mengagak semua itu dan dengan mudah membawa cadangan pelaksanaan Perintah Darurat yang dipersetujui anggota Kabinet kepada Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Perintah Darurat jadi batu loncatan

Perintah Darurat itu dari perspektif lain, menjadi batu loncatan kepada Muhyiddin untuk mengukuhkan kedudukannya terutama ketika dan selepas Belanjawan 2021.

Hakikatnya, beliau berjaya mendapat sokongan baginda terhadap dua perkara iaitu memastikan kestabilan politik dengan mengekalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, menolak usul undi tidak percaya.

Kedua, memastikan kestabilan politik dengan mendapat sokongan daripada seluruh Ahli Parlimen untuk meluluskan Belanjawan 2021.

Terdahulu, selepas sidang khas Majlis Raja-Raja Melayu di Istana Negara, Al Sultan Abdullah selain memutuskan tiada pelaksanaan Perintah Darurat, baginda juga menggesa semua pihak berhenti politicking.

Baginda juga kemudian menitahkan semua Ahli Parlimen menyokong Belanjawan 2021 yang dibentangkan Jumaat lalu demi kesejahteraan rakyat.

Berdasarkan usul yang dipersembahkan dan titah baginda selepas itu, Muhyiddin sebenarnya berjaya memperoleh keyakinan Agong.

Kestabilan politik

Beliau berjaya mendapat keyakinan baginda untuk memastikan Ahli Parlimen menyokong Belanjawan 2021 dan mengenepikan usul undi tidak percaya melalui isu ‘kestabilan politik’.

Susulan titah baginda juga, pemimpin parti-parti politik mengeluarkan kenyataan untuk menyokong belanjawan dengan memastikan cadangan dan agenda mereka didengari kerajaan atas nama ‘kestabilan politik’.

Walaupun terdapat ketidakpuashatian dalam belanjawan berkenaan, namun hal demikian boleh ditambah baik menerusi perbahasan sebelum diluluskan.

Tumpuan yang sebelum ini berpusat kepada ‘peralihan kerajaan’, tetapi teralih kepada penambahbaikan Belanjawan 2021 dan kelulusannya. Soal sokongan kepada dasar dan kedudukan, sudah terjamin.

Dua kali Muhyiddin berjaya memastikan kedudukannya dan mengenepikan usul undi tidak percaya, walaupun perkara itu dibangkitkan oleh Ahli parlimen daripada parti yang menyokongnya. – SM

(Visited 252 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button