Parlimen

Benar, kerajaan tidak sempurna, tetapi tidak berpeluk tubuh – PM

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin mengakui kerajaan pimpinannya tidak sempurna. Namun menurut beliau, Kerajaan  juga tidak berpeluk tubuh dengan membiarkan rakyat menderita.

Tegas beliau, Kerajaan sentiasa bergerak dan bertindak untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat.

“Yang penting kita mesti bersolidariti dalam menghadapi zaman yang sukar ini. Tidak usahlah kita berbalah dan menuding jari.

“Kerana di sana ada rakyat yang jiwanya sengsara, ada bapa yang tenggelam punca, ada anak yang menderita, manakala frontliners kita terus terbeban dan hospital semakin tertekan.

“Marilah kita berganding bahu, mencari berkat dan meraih jaya pada setiap usahasama. Bulat air kerana pembentung, bulat kita kerana muafakat. Bersatu kita pasti teguh, bercerai kita roboh,” kata Muhyiddin dalam penerangan berkenaan Pelan Pemulihan Negara di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, Kerajaan telah melaksanakan lapan Pakej Rangsangan Ekonomi dengan pelbagai bantuan tunai kepada rakyat ketika melalui tempoh sukar akibat pandemik Covid-19.

Sejumlah RM530 bilion diperuntukkan dalam pakej PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan, PENJANA, KITA PRIHATIN, PERMAI, PEMERKASA, PEMERKASA Tambahan dan PEMULIH.

“Apa yang penting adalah, pelaksanaan kesemua pakej ini telah memanfaatkan lebih 20 juta rakyat serta 2.4 juta premis dan entiti perniagaan setakat ini. Lebih RM200 bilion telah dimanfaatkan dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Selain itu program vaksinasi Covid-19 turut dipercepatkan dengan sasaran 100 peratus rakyat dewasa menerima vaksin pada Oktober.

Mennurut Muhyiddin, Kerajaan telah menempah 79.9 juta dos vaksin dan daripada jumlah tersebut sebanyak 25.2 juta dos telah diterima.

“Dijangkakan kita akan menerima jumlah keseluruhan 37.3 juta dos pada bulan Ogos. Sebanyak 21.9 juta dos lagi akan diterima pada suku ke empat 2021 dan baki selebihnya akan diterima pada suku pertama 2022,” terang beliau.

Melalui pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) lebih 16 juta dos telah berjaya dibekalkan kepada rakyat Malaysia sehingga hari ini.

Jumlah itu merangkumi 11 juta orang telah menerima dos pertama dan lima juta orang telah menerima dua dos lengkap suntikan vaksin. Kadar vaksinasi harian juga telah melebihi 500 ribu dos sehari.

Katanya, Kerajaan juga telah menubuhkan Majlis Pemulihan Negara bagi memastikan pemulihan ekonomi dan sosial rakyat berlaku dengan segara.

MPN disertai wakil-wakil dari sektor swasta, pakar industri, NGO dan wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

Tiga wakil pembangkang turut dijemput untuk menganggotai MPN untuk berkongsi pandangan dan nasihat dalam pelbagai aspek pelan pemulihan. -SM

 

 

 

(Visited 193 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button