Nasional

Kompaun RM1,000 dinaikkan kalau terus berdegil langgar SOP – KPN

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berpendapat sudah tiba masanya nilai kompaun kerana ingkar dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dinaikkan susulan peningkatan ketara kes Covid-19 di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, setiap minggu ribuan saman dikeluarkan polis kepada individu yang ingkar dan melanggar SOP PKP yang kebanyakannya melibatkan kesalahan tiada penjarakan fizikal.

Menurutnya, lebih memburukkan lagi keadaan apabila ada yang mengambil kesempatan dengan melakukan perjalanan rentas daerah dan negeri tanpa alasan yang kukuh.

“Sekiranya kompaun RM1,000 itu dianggap kecil maka mereka yang degil ini pasti akan menerima padah apabila arahan menaikkan nilai kompaun ini diwartakan. Sudah tiba masanya untuk nilai kompaun itu dinaikkan,” katanya hari ini.

Beliau berkata, anggotanya telah diarahkan untuk mengeluarkan saman terhadap mereka yang ingkar tanpa memberi ruang dilepaskan dengan amaran.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata lagi, sepanjang menjalankan tugas ketika PKP dilaksanakan, seramai 474 warga PDRM positif Covid-19 manakala 1,628 lagi telah menjalani kuarantin.

“Amat menyedihkan apabila petugas barisan hadapan yang dijangkiti ini terpaksa dirawat oleh satu kelompok lagi petugas barisan hadapan di hospital,” katanya.

Penularan Covid-19 di negara ini menunjukkan peningkatan mendadak ketika ini dengan jumlah kes harian baharu menghampiri 6,000 apabila sebanyak 5,725 kes dilaporkan semalam dan hari ini pula 5,728 kes dicatatkan. – SUMBER BERNAMA – SM

 

(Visited 147 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button