Nasional

Warga emas didakwa tembak mati kucing jiran guna senapang angin

Gara-gara menembak mati seekor kucing dengan senapang angin kerana sering memasuki rumah lima jiran lima bulan lalu, seorang warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh Aziz Tambi, 62, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam dua prosiding berasingan di hadapan Majistret Nabilah Nizam dan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Di hadapan Hakim Darmafikri tertuduh didakwa telah menembak seekor kucing dengan selaras senapang angin hingga menyebabkan kesakitan dan penderitaan terhadap haiwan terbabit yang tidak sepatutnya dilakukan oleh tertuduh.

Kesalahan di bawah Seksyen 29 (1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 itu dilakukan di alamat sama kira-kira jam 2.30 petang 18 Jun lalu yang boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin dan Muhammad Nazrin Ali Rahim sementara tertuduh diwakili peguam Isyak Kari.

Di hadapan Majistert Nabilah Nizam pula tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki selaras senapang angin tanpa lesen sah pada 19 Jun 2022.

Kesalahan tersebut dilakukannya di No 430-1 Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai, dalam daerah Melaka Tengah di sini pada kira-kira pukul 8.00 malam pada 19 Jun lalu.

Atas kesalahan tersebut, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Muhamad Ehsan Nasarudin menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dan RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Isyak dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan yang rendah mengambil kira usia lanjut tertuduh yang hanya bekerja kampung dengan pendapatan harian RM50 selain masih perlu menyara anaknya.

Nabilah dan Darmafikri kemudian masing-masing menetapkan wang jaminan RM2,500 dan RM5,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Januari depan sebagai tarikh sebutan kes.

Pada 21 Jun akhbar melaporkan seorang warga emas tergamak mencederakan seekor kucing secara menembak haiwan peliharaan jirannya itu menggunakan senapang angin kerana marah haiwan itu
masuk ke rumahnya.

Akibat perbuatan itu, kucing berkenaan disahkan mati selepas pemeriksaan doktor sebuah klinik haiwan menemui kesan luka dan beberapa butir logam yang dijadikan peluru menembusi belakang badan haiwan malang itu. – SM

(Visited 220 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button