AgamaNegeri

MAIPs salur RM25,000 untuk rumah kebajikan imarah Ramadan

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan sumbangan berjumlah RM25,000 untuk rumah-rumah kebajikan di negeri ini bagi tujuan pengimarahan Ramadan baru-baru ini.

Pusat dan rumah kebajikan yang menerima sumbangan tersebut adalah Rumah Seri Kenangan Jejawi, Rumah Kanak-kanak Arau, Pusat Jagaan Warga Emas Rumah Sejahtera Batu Bertangkup, Rumah Sejahtera Warga Emas Baitul Hanan Behor Mali dan Pusat Jagaan Teratak Rahmat Mata Air.

Sumbangan berkenaan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs di Masjid Al Rahim Titi Tok Bandar dekat Kangar.

Titah Baginda, selain memberikan perlindungan dan sokongan kebajikan kepada para penghuni, setiap rumah kebajikan di Perlis turut diseru untuk melaksanakan program-program penghayatan dan pengajaran agama Islam kepada penghuninya.

“Aspek-aspek rohaniah dan kesihatan mental harus diberikan penekanan kepada para penghuni di rumah kebajikan agar dapat terus memberikan keseimbangan kehidupan kepada mereka,” titah Baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut bertitah menyeru kepada masyarakat agar menggunakan kesempatan sepanjang Ramadan baru-baru ini dan juga pada tahun-tahun yang mendatang untuk menggandakan amalan antaranya dengan menyalurkan sumbangan wakaf melalui MAIPs bagi menyahut Kempen Kesedaran Berwakaf Peringkat Negeri Perlis yang dilancarkan Baginda baru-baru ini.

Untuk rekod, pada masa inj MAIPs sedang dalam perancangan membina sebuah Pusat Pakar dan Pembedahan Katarak di bawah kendalian Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.

Mereka yang berhasrat menyalurkan sumbangan bolehlah melayari Laman Portal Rasmi MAIPs iaitu www.maips.gov.my. – SM

(Visited 17 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button