Nasional

Peguam Negara: Tiada keperluan absahkan pelantikan PM

PEGUAM memutuskan tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Perdana Menteri dan kerajaan yang sudah dibentuk menurut lunas undang-undang.

Tan Sri Idrus Harun, berkata, pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  sebagai Perdana Menteri Kesembilan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, ia juga , selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Selaras dengan proses pemilihan yang dijalankan Al-Sultan Abdullah dengan teliti dan telus untuk melantik Perdana Menteri kesembilan, secara jelasnya pelantikan Ismail Sabri adalah sah dan menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya pelantikan Perdana Menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Yang di-Pertuan Agong, ini bermakna kuasa mutlak Baginda boleh diatasi oleh pihak lain.

“Langkah sedemikian adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Baginda seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Idrus berkata, melalui Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan ia yang memberi kuasa budi bicara kepada Al-Sultan Abdullah untuk melantik Perdana Menteri.

Katanya, mengikut Perkara 40(2)(a) ia harus dibaca bersama Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang mana Perdana Menteri hendaklah dilantik dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Ternyata sekali pelantikan Perdana Menteri adalah tanggungjawab perlembagaan dan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

“Tatacara penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sudah pun diputuskan Yang di-Pertuan Agong.  Bagi tujuan itu, Baginda sudah mengadakan sesi menghadap bersama ketua parti politik utama negara pada 17 Ogos lalu di mana semua 220 ahli Dewan Rakyat diminta untuk menyatakan nama ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri menerusi surat akuan,” katanya.

Beliau berkata, seterusnya, nama bakal Perdana Menteri daripada semua 220 ahli-ahli Dewan Rakyat dikemukakan kepada pihak Istana Negara, masing-masing menerusi surat akuan pada 18 Ogos lalu.

Katanya, susulan daripada penerimaan surat akuan itu, Baginda berkenan menerima menghadap seramai 114 ahli Dewan Rakyat pada 19 Ogos lalu untuk mengesahkan kepercayaan mereka kepada ahli Dewan Rakyat yang dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri iaitu Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera.

(Visited 221 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button