Ekonomi

ECERDC terima pelaburan hampir RM10 bilion untuk Pahang

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) kekal fokus sepanjang 2021 dalam memastikan  aliran masuk pelaburan berterusan yang telah menghasilkan RM9.6 bilion pelaburan komited di Pahang setakat ini, hampir dua kali ganda sasaran asal sebanyak RM5.3 bilion untuk 2021.

Pelaburan ini akan mewujudkan lebih 6,700 peluang pekerjaan dan 200 usahawan baharu di negeri ini.

Pelaburan infrastruktur strategik Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC di taman-taman perindustrian di Pahang telah mengukuhkan kedudukan negeri tersebut sebagai sebuah destinasi pelaburan yang menarik di ECER.

Sejak tahun 2018 sehingga kini, Negeri Pahang telah memperoleh RM19.8 bilion dalam pelaburan domestik dan asing atau 64% daripada RM31 bilion yang disasarkan dalam Pelan Induk ECER 2.0 (2018 – 2025).

“Pencapaian ini membuktikan bahawa dengan perancangan, sokongan infrastruktur strategik yang baik, serta usaha promosi yang agresif telah menjadikan Pahang sebagai sebuah destinasi pelaburan yang menarik untuk pelabur domestik dan luar negara.

“Dengan usaha  promosi berterusan oleh ECERDC dan agensi-agensi Negeri, kami percaya kami akan dapat menarik lebih banyak pelaburan terutamanya ke taman-taman perindustrian ECERDC di Pahang,” kata Menteri Besar Pahang. Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sewaktu mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Pahang, hari ini.

“Pertumbuhan pelaburan yang kukuh di Pahang akan membantu pemulihan ekonomi terutamanya dalam mewujudkan pekerjaan untuk rakyat serta peluang perniagaan untuk usahawan tempatan.

“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, ECERDC tetap meneruskan pelaksanaan projek-projek infrastruktur strategik, antaranya saluran paip air sepanjang 29 km dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang, dengan jangkaan kapasiti 80 juta liter sehari yang dijangka akan siap menjelang Mei 2023, bagi memastikan bekalan air berterusan untuk memenuhi permintaan pelabur di Kawasan Perindustrian Gebeng,” kata  Datuk Baidzawi
Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

TAMAN-TAMAN PERINDUSTRIAN PAHANG BAKAL MEMACU PERTUMBUHAN

Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), yang dibina di kawasan seluas 3,500 ekar berdekatan dengan Pelabuhan Kuantan telah menarik lebih daripada 40% daripada pelaburan 2021, iaitu sebanyak RM4.2 bilion untuk pembuatan keluli dan sarung tangan perubatan.

Satu lagi taman perindustrian utama di negeri Pahang iaitu Taman Automotif Pekan (PAP) yang menempatkan jenama-jenama automotif bertaraf dunia seperti Mercedes-Benz, Volkswagen, Isuzu dan Mitsubishi kini sedang menuju ke arah menjadi sebuah Taman Perindustrian Automotif Hijau untuk menarik pengeluar-pengeluar kenderaan elektrik (EV) baharu.

“Langkah ke arah Taman Perindustrian Automotif Hijau akan menyediakan sebuah platform untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam segmen ini. Sejak beberapa tahun lalu, industri ini telah mencapai kemajuan yang ketara ke arah pembuatan kereta elektrik dan hibrid yang mesra alam.

Justeru, dengan pengalaman yang kami miliki dalam taman automotif, menarik kemasukan pelabur ke dalam segmen ini adalah hala tuju masa hadapan untuk PAP,” kata  Baidzawi.

PAHANG BARAT SEBAGAI PUSAT PERTUMBUHAN BAHARU

ECERDC akan mengekalkan fokusnya dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi di Pahang Barat melalui aktiviti-aktiviti pertanian dan pelancongan.

Kajian Rancangan Pembangunan  Pahang Barat Plus oleh Unit Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat di bawah Bahagian Pembangunan Ekonomi Negeri Pahang kini sedang dalam peringkat akhir dan ECERDC berhasrat untuk terus membangunkan daerah-daerah di bawah Pahang Barat Plus yang merangkumi Bentong, Cameron Highlands, Raub, Lipis, Jerantut dan Bera.

Pelaburan swasta dalam sektor pertanian Pahang merupakan satu lagi pemacu utama pembangunan sosioekonomi di negeri ini dan ECERDC bekerjasama rapat dengan pihak-pihak berkepentingan daripada sektor swasta dan awam untuk mempercepatkan pelaksanaan inisiatif agrofood@ECER, khususnya Lembah Tenusu ECER (ECER Dairy Valley) di Pahang Barat yang akan mempertingkatkan lagi bekalan susu segar tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada produk import.

Pahang Barat Plus secara kolektif mempunyai kawasan tanah yang luas untuk menarik pelaburan dalam aktiviti-aktiviti pertanian bernilai tinggi seperti durian dan tongkat ali, selain haiwan ternakan. Ia juga mempunyai  destinasi-destinasi indah termasuk destinasi tanah tinggi yang boleh dibangunkan lagi sebagai tarikan pelancongan.

Kawasan pertumbuhan ini akan turut disokong oleh projek-projek infrastruktur strategik yang meningkatkan kesalinghubungannya seperti Jalan Central Spine (CSR), yang akan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi secara keseluruhan di seluruh Negeri Pahang dan ECER.

PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Di bawah program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER yang dijalankan dengan kerjasama Yayasan PETRONAS dan MyKasih, 950 peserta dari lima daerah; Bentong, Raub, Lipis, Cameron dan Temerloh telah dilatih dalam pelbagai kemahiran termasuk perancahan (scaffolding), bakeri, katering, fertigasi dan pengendalian inap desa (homestay).

Sementara itu, di bawah program Latihan Akademik empower ECER, 86% (1,889) pelajar telah mendapat penempatan untuk melanjutkan pelajaran mereka, manakala 14% (307) lagi sedang dalam proses permohonan. Ini termasuk 107 pelajar Orang Asli yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi-institusi pengajian tinggi dan teknikal daripada 137 pelajar yang lulus peperiksaan SPM pada 2020.

“Kami berbangga kerana program Latihan Akademik empower ECER bukan hanya mengenai pencapaian SPM tetapi turut memainkan peranan dalam memastikan setiap peserta meneruskan pelajaran ke institusi-institusi pengajian tinggi dan teknikal, selaras dengan hasrat ECERDC agar tiada seorang pun anak-anak yang akan ketinggalan,” tambah Baidzawi.

Pada masa yang sama, dalam menyokong Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (PENJANA), ECERDC telah menyediakan latihan peningkatan kemahiran dan pemahiran semula di bawah program PENJANA-ECERDC khususnya kepada mereka yang menganggur akibat pandemik untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka. Program ini juga menjadi salah satu insentif kepada para pelabur di ECER kerana PENJANA membayar sebahagian daripada kos latihan sambil bekerja dalam bentuk subsidi upah. Setakat ini, empat syarikat telah menyertai program tersebut, dengan 337 peluang pekerjaan ditawarkan dan 83 pekerja telah dilatih dan
diambil bekerja.

Berikutan kejayaan program rintis Aplikasi Web ACES I4.0, Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES), yang ditubuhkan oleh ECERDC, telah mengatur langkah dengan melatih 400 lepasan SPM dan graduan di Pahang dalam pembangunan perisian dan multimedia kreatif di bawah program ACES-ECER Jobs Train and Place, yang juga di bawah PENJANA. Sehingga kini, seramai 66 peserta di Pahang telah diambil bekerja dalam bidang
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

(Visited 325 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button