BanjirBencana alamNasionalRibut

ICQS Rantau Panjang-Sungai Golok dan Pengkalan Kubor-Tak Bai ditutup kerana banjir.

66 daerah, 9 wilayah Selatan Thailand dinaiki air

JABATAN Mitigasi dan Pencegahan Bencana (DDPM) memaklumkan 66 daerah di sembilan wilayah di Thailand iaitu Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Trang, Phatthalung, Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat masih dinaiki air.

Ini ekoran hujan lebat berterusan sejak Ahad sehingga semalam menyebabkan sembilan wilayah di negara Gajah Putih itu ditenggelami air dan menjejaskan lebih 64,000 isi rumah di selatan Thailand.

“Monsun timur laut yang kuat merentasi Teluk Thailand dan Laut Andaman telah menyebabkan hujan berterusan serta air sungai melimpah, banjir dan banjir kilat di kebanyakan kawasan.

“Sehingga kini, sejumlah 64,626 isi rumah di 1,425 kampung di sembilan wilayah dilanda banjir sejak Ahad,” menurut DDPM dalam satu kenyataannya.

Menurut DDPM lagi, bagaimanapun paras air di beberapa kawasan mulai surut hari ini.

DDPM bersama-sama agensi berkaitan mula menyelaraskan gerakan untuk memulakan kerja-kerja pembersihan pasca banjir.

Sementara itu, Gabenor Narathiwat, Sanan Pongaksorn berkata, Sungai Golok bersempadan dengan Rantau Panjang, Kelantan, Malaysia, melimpah dan banyak kawasan rendah tenggelam.

“Sebanyak 29,113 isi rumah di Narathiwat yang bersempadan dengan Kelantan turut terjejas akibat banjir,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Imigresen Kelantan di halaman Facebooknya pula mengumumkan penutupan sementara Kompleks Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang-Sungai Golok dan Pengkalan Kubor-Tak Bai kerana banjir.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan bilakah ICQS akan dibuka semula dan kemungkinan besar bergantung kepada keadaan. – SM

(Visited 356 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button