MahkamahNasional

Mahkamah Rayuan terima permohonan kerajaan haramkan buku “Gay is OK! A Christian Perspective”

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk mengenakan semula pengharaman buku “Gay is OK! A Christian Perspective”.

Hakim Wong Kian Kheong ketika menyampaikan keputusan majoriti berkata, Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam dapatannya bahawa buku berkenaan tidak mungkin akan mencetuskan prejudis kepada ketenteraman awam, moral dan kepentingan awam.

Hakim Wong berkata, kebimbangan kerajaan berkaitan judul buku itu dan kandungannya juga wajar walaupun buku tersebut sudah diedarkan selama tujuh tahun sebelum larangan dikenakan terhadapnya.

Beliau berkata, hakim mahkamah bawahan juga terkhilaf menggunakan prinsip kebebasan berekspresi di bawah undang-undang India bagi kes ini menegaskan bahawa susunan kata peruntukan-peruntukan yang berkenaan dalam Perlembagaan kedua-dua negara ada perbezaannya.

Menurut Hakim Wong lagi, Mahkamah Tinggi turut terkhilaf kerana bergantung pada hak terkandung dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Parlimen kita tidak menggubal mana-mana undang-undang tempatan bagi menguatkuasakan prinsip tersebut,” katanya.

Hakim Wong menambah, tidak ada keperluan untuk memberikan pihak terkilan hak untuk didengari atau memberikan alasan bagi sebarang pengharaman, menurut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

“Warta bagi mengharamkan buku itu ada menyatakan alasan-alasannya,” katanya.

Wong bersidang bersama Hakim Azizah Nawawi dan M Gunalan.

Hakim Azizah sependapat dengan Hakim Wong namun Gunalan menyatakan beliau bersetuju dengan dapatan hakim di Mahkamah Tinggi bahawa jangkaan pemohon dalam perkara ini adalah munasabah.

Gunalan berkata, mahkamah bawahan betul apabila memutuskan pengharaman buku itu selepas tujuh tahun adalah tidak munasabah dan melanggar keadilan asasi.

Mahkamah Rayuan juga menganugerahkan kerajaan yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambly dan Peguam Persekutuan, Sallehudin Ali, RM15,000 sebagai kos.

Edmund Bon, yang mewakili penerbit Gerakbudaya, Chong Ton Sin dan penulis, Ngeo Boon Lin, berkata beliau akan menunggu arahan sama ada memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Chong dan Ngeo sebelum ini berjaya meminta Mahkamah Tinggi membatalkan pengharaman itu, tahun lepas.

Kementerian Dalam Negeri pada 2020 mengharamkan buku berkenaan atas alasan penerbitan tidak diingini. Buku tersebut diterbitkan pada 2013. – SUMBER FMT – SM

BACA Hamzah cabar Anwar saman media antarabangsa tuding beliau sebagai pengamal seks songsang

BACA “Golongan Homoseksual, Kami Rayu Tolong Hadkan Aktiviti Seksual” – Rintih WHO

(Visited 32 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button