Belang Bertempat

Wanita, Puteri UMNO bawah Noraini, Zahida tiada sengat…

Belang sebenarnya masih rindukan kelibat dua wanita besi dalam UMNO. Seorang dari Wanita dan satu lagi dari Puteri.

Kalau ada dua personaliti ini, Belang jamin UMNO boleh `pukul’ habis dalam mana-mana pilihan raya, dengan `mulut celupar’ dan ketegasan mereka merencanakan strategi dan percaturan parti. Kalau kelibat dua orang ini, nescaya UMNO tidak kematu, tidak layu seperti hari ini – sehingga mudah dipermain-mainkan oleh `rakan mesra’ mereka.

Siapa lagi kalau Belang belum buka mulut pun, pihak luar UMNO pun maklum siapa mereka. Tidak lain tidak bukan, Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

Rafidah, menyandang jawatan Ketua Wanita UMNO dari 1999 hingga Mac 2009 manakala Azalina mengetuai Puteri UMNO bermula sebagai ketua penaja pada April 2001, sebelum menjadi Ketua Puteri UMNO yang pertama dilantik mulai 1 November 2002 hingga 2004.

Semasa era kegemilangan UMNO, dua nama ini bukan sahaja menjadi sebutan, bahkan digeruni lawan. Seingat Belang, PKR dan Pas yang sering `terpana’ dengan penangan Wanita dan Putera waktu itu sudah hendak angkat muka berhadapan dengan Rafidah dan Azalina.

Ada sahaja idea dan jawapan daripada dua orang ini untuk mematahkan hujah-hujah lawan mereka. Yang dapat imbalannya dari kecerdikan mereka berdua, tak lain tak bukan presiden UMNO ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Hari ini dalam usia 76 tahun, pemikiran dan kreativiti Rafidah masih didambakan orang dalam dunia penerbangan selaku Pengerusi AirAsia X, sementara Azalina, 56, mengendalikan Dewan Rakyat sebagai timbalan yang dipertua.

Bagaimana dengan Wanita dan Puteri UMNO hari ini? Hanya perkataan `haru’ sahaja yang dapat Belang luahkan. Beraksi sebagai menteri pun `diketawakan’ anak muda dengan lambat bertindak memastikan kelancaran urusan pendaftaran pelajar, inikan pula mahu menguruskan parti besar yang sedang `ribut dalam cawan’ dan `dipermainkan’ rakan sekutu, mampukah?

Sementara yang seorang lagi dalam Puteri, tak pasti apa yang sedang dibuatnya untuk manfaat parti. Ketika ada sebuah akhbar arus perdana menampilkan wajah-wajah wanita muda seperti Rara (DAP), Dira (UMNO), Marina Ibrahim (DAP) dan Nicole Wong (Pemuda MCA), dia tak tahu ke mana halanya. Pernah seorang rakan Belang mahu mewawancaranya, tapi tidak bersambut. Entah apa sebabnya. Tak pasti.

Begitupun, Belang mahu ingatkan Datuk Noraini Ahmad dan Zahida Zarik Khan agar jangan tidur semasa politik ‘tak berapa cantik’ untuk UMNO kala ini.

Ingatlah perkara-perkara berikut:

1. Wanita/Puteri sebagai surirumah berperanan sebagai `gatekeeper politik’

a. Mahu tidak mahu harus diakui wanita bertindak sebagai surirumah dan ibu dalam rumahtangga. Anak-anak mereka merupakan pengundi. Di sinilah Wanita/Puteri (UMNO) berperanan menyuntik/mempengaruhi setiap pengundi dalam rumahtangga mereka. Perjelaskan isu-isu sebenar di sebalik usaha Pakatan Harapan `melenyapkan fakta’ untuk kepentingan diri mereka khususnya game yang dimainkan DAP.

2. Wanita dan Puteri bak `aur dengan tebing’
-Mahu tidak mahu UMNO harus akui prestasi Wanita dan Puteri UMNO dalam PRU-14 tidaklah secemerlang seperti mana era Rafidah dan Azalina. Adalah penting untuk mewujudkan satu kombinasi mantap antara kedua-dua sayap UMNO ini.

3. Fokus kepada Melayu dan Islam
-Berbanding parti-parti Melayu dalam Pakatan Harapan seperti PKR, PPBM dan Parti Amanah Negara, mereka tiada jentera seperti Wanita UMNO yang keberadaannya diakui di segenap pelosok negara.
-Dalam tempoh Pakatan Harapan memerintah, sebilangan besar orang Melayu seolah-olah berasa cuak dan curiga dengan komitmen mereka untuk memperjuangkan Islam.
-Maka di sini, Wanita UMNO harus mengisi ruang yang lompang ini untuk membuktikan kewibawaan memperjuangkan isu-isu Melayu, Islam dan wanita. Jalinkan hubungan dengan pendakwah-pendakwah popular seperti Prof. Muhaya, Ustazah Nurhafiza Musa dan beberapa orang lagi.

4. Strategi Wanita harus trendy, `serangan’ harus tepat dan terkesan dalam jiwa pengundi.

Ayuh Noraini, bangkit Zahida, buktikan anda boleh.-SM

(Visited 1,229 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button