Politik

Wanita PKR Selangor sudah jangka Daroyah akan tinggalkan parti

WANITA PKR Selangor sudah menjangkakan lebih awal Ahli Dewan Undangan Negeri Sementa Dr. Daroyah Alwi akan meninggalkan parti tersebut.

Menurut mereka, Wanita PKR Selangor telah bersiap sedia untuk meneruskan agenda reformasi seterusnya mempertahankan kerajaan negeri Selangor.

“Pemimpin datang dan pergi namun matlamat tidak akan pernah goyang malah pimpinan sedia ada mempunyai kualiti dan kepimpinan yang teguh untuk terus memacu sayap ini kehadapan di bawah pentadbiran Datuk Seri Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Amiruddin Shari di peringkat pusat dan juga negeri.

“Kami ADUN Wanita Keadilan Selangor dan Majlis Pimpinan Wanita Keadilan Negeri Selangor termasuk 18 Ketua Wanita Cabang di Selangor berikrar untuk terus kekal setia bersama Keadilan,” kata mereka dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Turut menandatangani kenyataan itu adalah Timbalan Ketua Wanita PKR Selangor, Sangetha Jayakumar; ADUN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli, ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail dan ADUN Permatang, Rozana Zainal Abidin.

Dr. Daroyah yang merupakan Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat dan Ketua Wanita PKR Selangor mengumumkan peletatan semua jawatan dalam parti itu dan meninggalkan PKR hari ini.

BACA Timbalan Ketua Wanita PKR keluar parti

Daroyah yang juga merupakan Timbalan Speaker DUN Selangor berkata, dia meninggalkan parti itu kerana tidak lagi mempercayai kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR.

“Saya mengumumkan hari ini perletakan jawatan saya sebagai Ketua Wanita PKR Selangor berkuatkuasa hari ini 13 Jun 2020.

“Keputusan ini dibuat kerana saya sudah hilang rasa yakin dan percaya kepada Presiden dan pimpinan parti tentang hala tuju dan idealisme perjuangan parti ini.

“Hala tuju parti kini lebih kepada perpecahan dan pentaksubnya juga gagal menjalankan amanah yang diberi,” katanya lagi.

Dr Daroyah turut disertai 13 lagi pimpinan Wanita PKR Selangor yang juga bertindak meninggalkan parti itu hari ini.

“Pimpinan Wanita Selangor yang bersama saya petang ini terdiri daripada Ahli-ahli Majlis Pimpinan Keadilan Selangor, Ketua-ketua Wanita Cabang, Ahli-ahli Majlis Berkuasa Tempatan, serta pelbagai pimpinan akar umbi.

“Kami berasa amat terkesan apabila rakan-rakan pimpinan dan seperjuangan di segenap lapisan yang selama 21 tahun ini jerih-perih berjuang bersama dengan keringat dan air mata demi mengangkat idealisma Keadilan, sewenang-wenangnya dikenakan tindakan hanya kerana perbezaan pendapat,” katanya lagi.-SM

(Visited 430 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button