
Politik
Wanita PKR guna sistem ASAK perkasa pengurusan
Meskipun berhadapan dengan ledakan arus teknologi ketika ini, sayap Wanita PKR terus unggul dengan terus maju ke hadapan sekali gus menyesuaikan diri dengan gelombang baharu itu.
Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek berkata, harus diakui tidak semua daripada ahli sayap parti itu mempunyai kepakaran dalam penggunaan teknologi.
“Kadang-kadang 10 kali bagi kata laluan pun kita boleh terlupa, tapi tak boleh (terus begitu) kerana rempuhan teknologi ini memerlukan kita bersama menguasai dengan jauh lebih cepat.
“Tetapi saya melihat Ketua Wanita Cabang serta barisan kepimpinan Wanita Cabang berjaya menguasai Sistem Asimilasi Struktur Asas Kepimpinan (ASAK) dengan baik.
“Maka laporan-laporan mesyuarat Cabang dapat dikumpulkan dengan sangat baik, malah Mesyuarat Agung juga telah berjaya dilaksanakan dengan sangat baik hasil daripada komitmen anda semua,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar sempena Kongres Nasional Tahunan Wanita KEADILAN Ke-18 yang diadakan di Pusat Konvensyen Danga Bay, di Johor Bahru hari ini.
Sistem ASAK diperkenalkan oleh sayap wanita di bawah Fadhlina bagi memperkasakan pengurusan dan tadbir urus cabang wanita parti itu secara digital.
Sistem berkenaan merupakan sebuah laman rasmi tertutup yang dibangunkan bagi mengatasi isu-isu berbangkit antaranya penyelarasan pengurusan keahlian dan dokumentasi di peringkat negeri dan pusat.