Politik

Wanita PKR cabar PM tidak halang Perhimpunan Agung UMNO

WANITA Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencabar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin untuk membenarkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) berlangsung pada 31 Januari ini.

Pengarah Komunikasi Wanita Loh Ker Chean berkata, PAU yang akan membahaskan usul untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu tidak sewajarnya dihalang dengan menggunakan apa sahaja helah politik termasuk alasan mengekang wabak Covid-19.

“Wanita PKR melontarkan cabaran ini kerana mengambil iktibar daripada insiden persembahan cadangan pengisytiharan darurat di seluruh negara ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun lalu oleh Perdana Menteri demi kepentingan politik peribadinya,” dakwa Ker Chean.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO baru-baru ini mengambil ketetapan untuk membawa usul memutuskan hubungan dengan Bersatu sambil mempertahankan kerjasama dengan PAS akan dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) hujung bulan ini.

Ker Chean berkata, Muhyiddin yang juga Pengerusi Bersatu sepatutnya mengambil kesempatan keputusan PAU tersebut bagi menyelesaikan kemelut antara parti pimpinannnya dengan UMNO yang didakwa telah mengakibatkan ketidakstabilan dalam kerajaan Perikatan Nasional untuk mentadbir negara.


“Oleh itu, Tan Sri Muhyiddin perlu mengutamakan penyelesaian kemelut ini dengan menerima keputusan PAU kelak sama ada UMNO akan kekal dalam menyokong beliau atau tidak selaku PM dengan majoriti paling tipis dalam sejarah Malaysia.

“Wanita PKR berharap agar PM tidak mencontohi Presiden Amerika Syarikat Donald Trumph yang enggan memudahkan proses peralihan kuasa sehingga menyebabkan tragedi berlaku di AS kebelakangan ini,” kata Ker Chean.

Menurutnya, Muhyiddin perlu mengizinkan peralihan kuasa berlaku dengan aman sekiranya beliau kehilangan sokongan UMNO menerusi PAU pada hujung bulan ini.

Usul memutuskan hubungan dengan Bersatu antara tiga usul utama yang dibangkitkan sebahagian besar atau majoriti daripada 189 Bahagian-Bahagian UMNO yang telah bersidang baru baru ini.

Dua lagi usul termasuk menggesa supaya Pilihan Raya Umum ke-15 dapat diadakan sebelum berakhir suku pertama tahun 2021 bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat tertakluk kepada keadaan COVID-19.

Perwakilan turut mengusulkan mmpertahankan hubungan kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) mengambil kira sentimen permuafakatan yang telah dibina ketika 22 bulan bersama sama sebagai pembangkang.-SM

(Visited 361 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button