Belang BertempatPolitik

Awal sangat Azmin Ali kehabisan ‘peluru’ politik

Ahad lalu umum berehat sebentar daripada karier politik

SELEPAS tiga penggal mewakili Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga abang kandung kepada selebriti kontroversi, Azwan Ali atau suka dipanggil dengan panggilan Diva AA, tewas di tangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amirudin Shari dalam merebut kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor telah menewaskan anak Klang Gate ini dengan meraih majoriti 12,729 undi.

Jangan terkeliru, walau pun Azmin kalah kerusi Parlimen di PRU15 pada 19 November tahun lepas, beliau masih lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, kerusi yang dimenanginya ketika masih bersama PKR pada PRU14, Mei 2018.

Pada Ahad lepas, Azmin yang juga Ahli Majlis pimpinan tertinggi Bersatu mengumumkan, beliau akan berehat seketika daripada karier politik bagi menyusun semula perancangan politiknya.

Pendekaan berehat seketika daripada karier politik oleh Azmin dilihat sebagai strategi beliau untuk mengukur sejauh mana pengaruh dan respons masyarakat atau orang ramai khususnya para pengundi terhadap kehadiran beliau di pentas politik.

Azmin yang agak lama menyepi susulan kekalahannya di Parlimen Gombak terpaksa mengambil pendekatan bermain minda dan psikologi untuk melihat adakah beliau masih disokong, punya sokongan dan masih relevan sebagai politikus.

Azmin amat sinonim dengan penduduk atau pengundi Gombak kerana beliau ialah anak arwah Ustaz Haji Ali yang mengajar anak-anak Klang Gate mengaji Al-Quran sewaktu hayatnya.

Penatlah anak-anak Klang Gate membina sokongan ketika Azmin mula-mula menjadi calon supaya pengundi, mengundi Azmin Ali – orang kita!

Rehat sebentar oleh Azmin adalah langkah taktikal yang mana ia tidak mengganggu apa-apa pun percaturan Bersatu dalam memperkukuhkan langkah untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri nanti.

Ini bermakna pengundi ada isu kepercayaan terhadap Azmin dan dikatakan beliau tidak mempunyai pengaruh yang kuat kerana popularti Azmin Ali hanya ketika beliau bersama PKR.

Pengundi-pengundi PKR dikatakan kuat menyokong Azmin tetapi apabila beliau bersama dalam Langkah Sheraton menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), dia dilihat seolah-olah menggali kubur sendiri (karier politik Azmin seakan-akan sampai ke penghujung).

Hukumannya, selepas beliau keluar PKR, masuk Bersatu dan bertanding di bawah Perikatan Nasional (PN), kalah di kerusi Parlimen Gombak menjadi ‘makanannya’.

Azmin tidak sepatutnya mengumumkan mengundur diri atau rehat sebentar mahupun rehat sementara pada ketika PN pimpinan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyusun dan mengatur strategi untuk berhadapan PRN Selangor.

Azmin anak kelahiran Negeri Selangor kan? Tidak sepatutnya beliau memilih sekarang masanya untuk berehat daripada arena politik melainkan beliau diminta berbuat demikian secara halus oleh parti.

Bertanding mesti nak menang dan kalau belum masuk barisan berperang, sudah jatuh tersungkur, di manakah jiwa kental seorang ahli politik dalam diri Azmin Ali?

Jangan takut dipersalahkan sekiranya PN tumbang pada PRN Negeri Selangor kerana kalah bersama-sama dengan barisan yang memperjuangkan nasib rakyat negeri Selangor, itu lebih dipandang tinggi daripada berehat sebentar seperti ini. – SM

(Visited 731 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button