Nasional

Wanita nyaris maut dihempap kepingan konkrit satu meter

SEORANG pengguna jalan raya nyaris maut apabila kereta yang dipandunya dihempap kepingan konkrit projek pembinaan lebuh raya di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur petang tadi.

Difahamkan, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.30 petang itu tular di laman sosial dengan mangsa, seorang wanita dibantu keluar oleh beberapa pengguna jalan raya yang lain.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya mengesahkan insiden itu berlaku petang tadi.

“Kepingan konkrit pembinaan lebuh raya anggaran satu meter persegi jatuh atas kereta Proton Saga FLX milik mangsa.

“Mangsa cedera di tangan dan dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zulkefly, kejadian itu juga telah menyebakan kesesakan teruk di lokasi tersebut bagi kerja-kerja mengalihkan kenderaan.

Dalam pada itu, ruangan komen di laman sosial berkaitan dengan kes tersebut dipenuhi dengan rasa tidak puas hati terhadap pemaju projek lebuh raya itu.

Menurut mereka, pihak berkenaan perlu mengambil tanggungjawab dan tidak melepas tangan apatah lagi insiden yang berlaku itu boleh mengakibatkan kehilangan nyawa. -SM

(Visited 355 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button