Luar Negara

Wanita Misteri Merangkak Keluar dari Saluran Pembetung Cetus Gempar di Filipina

MANILA – Penduduk Bandar Makati, Filipina dikejutkan dengan kemunculan misteri seorang wanita yang tiba-tiba merangkak keluar dari lubang saluran pembetung di tepi jalan, mencetuskan kekecohan dan rasa ingin tahu dalam kalangan orang awam.

Kejadian luar biasa itu berlaku pada Isnin lalu di persimpangan Jalan Rufino dan Adelentado, Kampung Legazpi. Dalam sebuah video yang tular di media sosial, wanita tersebut kelihatan keluar dari pembetung dalam keadaan kusut masai rambut panjang tidak terurus, pakaian dipenuhi tanah, daun kering serta kekotoran.

Lebih mengejutkan, wanita itu sempat menoleh dan tersenyum sebelum berlari ke arah seorang lelaki yang sedang merakam aksinya. Namun, tindakannya berjaya dihalang oleh seorang individu berpakaian seragam tentera.

“Saya sedang merakam ketika dia keluar dan terus berlari ke arah saya. Mujur ada lelaki berbaju askar yang menghalangnya,” kata William, individu yang berkongsi video tersebut di Instagram.

Beberapa orang awam dan pengawal trafik dilihat hanya mampu berdiri terpinga-pinga melihat situasi itu yang dianggap mengelirukan, malah menghiburkan bagi sesetengah pihak.

Menurut laporan GMA News Online, pihak polis Bandar Makati percaya wanita itu telah menetap di dalam sistem pembetungan tersebut untuk satu tempoh yang lama. Penemuan beberapa barang peribadi di dalam lubang itu menguatkan lagi kemungkinan tersebut.

Polis turut menyatakan wanita berkenaan mungkin memerlukan bantuan perubatan, dan usaha sedang dijalankan untuk mengesannya bagi tujuan keselamatan dan rawatan lanjut.

Insiden ini menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen, ada yang menyuarakan kebimbangan terhadap isu gelandangan, kesihatan mental dan aspek keselamatan bandar yang perlu diberi perhatian segera oleh pihak berkuasa tempatan.

Sumber : Refleks!

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button