Negeri

Wanita meninggal dunia dijangkiti wabak rabies

SEORANG wanita berusia 34 tahun dari Sibu, Sarawak meninggal dunia pada Ahad lalu akibat dijangkiti wabak rabies, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kes rabies terbaharu itu menjadikan jumlah kes bagi tahun ini adalah empat manakala jumlah keseluruhan wabak rabies di Sarawak yang diisytiharkan pada 1 Julai 2017 hingga semalam  adalah sebanyak 26 kes.

Dr. Noor Hisham

“Mangsa dimasukkan ke Hospital Sibu pada 12 Oktober lalu kerana mengalami lemah pada kedua-dua belah kaki sejak lima hari sebelum dimasukkan ke wad.

“Mangsa meninggal dunia pada 18 Oktober pukul 11.30 pagi dengan didiagnos rabies encephalitis dan disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 19 Oktober,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, siasatan mendapati kawasan kediaman mangsa terletak berdekatan dengan tapak pelupusan sampah dan terdapat banyak anjing liar berkeliaran.

Katanya lagi, mangsa pernah digigit oleh anjing peliharaannya pada hujung tahun 2018 namun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana kemudahan kesihatan dan anjing tersebut bebas bercampur dengan haiwan lain serta tidak pernah diberi suntikan vaksin anti-rabies.

Beliau berkata, anjing itu dibunuh oleh orang awam susulan kejadian menggigit seorang lagi individu, namun tiada sampel dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak bagi ujian pengesahan jangkitan rabies pada anjing terbabit.

Bagi kes ini, Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu telah memaklumkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk membuat penangkapan anjing di kawasan kediaman mangsa.

KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan mempertingkatkan kerjasama dengan kerajaan negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi lain bagi memastikan pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh.

Katanya, KKM menasihati orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti penyakit rabies.

Orang ramai perlu mencuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur dan mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat.

“Pastikan anjing peliharaan mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat. Elakkan bercampur dengan anjing atau haiwan liar sebelum dan selepas menerima suntikan vaksin.

“Laporkan kepada pihak berkuasa tempatan jika terdapat anjing liar berkeliaran di kawasan tempat tinggal dan sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan cuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan,” katanya.

Selain itu, jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkah laku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran. – SM

(Visited 83 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button