KemalanganNegeri

Ibu, bayi perempuan lima bulan meninggal dunia dalam kemalangan maut

Kemalangan di KM 74.3, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam

SEORANG wanita dan bayi perempuannya yang berusia lima bulan maut apabila kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Km 74.3 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, berhampiran sebuah stesen minyak di Simpang Renggam, Kluang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Assisten Komisioner Low Hang Seng berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 malam itu, kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar sebatang pokok menyebabkan B. Nagaranjini, 25, yang duduk di bahagian penumpang depan dan bayinya, G. Varsha, maut di tempat kejadian.

Pemandu B. Guna, 40, yang juga suami Nagaranjini dan anak lelaki mereka, G. Trishikan, 6, masing-masing patah kaki kiri dan mengalami luka-luka, kata Hang Seng dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kereta dinaiki keluarga itu dalam perjalanan dari Ayer Hitam menghala ke Johor Bahru dan dipercayai cuba mengelak kenderaan lain sebelum hilang kawalan dan terbabas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam Penolong Penguasa Bomba, Asyraf Nur Mohd Yusoff berkata, mereka menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan terbabit pada pukul 10.56 malam.

Beliau berkata, satu jentera bersama lima anggota yang tiba di tempat kejadian mendapati seorang mangsa berada di bahagian tempat duduk penumpang dan seorang bayi telah tercampak keluar dari kereta tersebut.

“Anggota Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa (Nagaranjini) yang berada di bahagian penumpang dan seterusnya menyerahkan mangsa yang meninggal dunia kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – SM

(Visited 222 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button