Nasional

Program ‘Bersama Komuniti PPR’ meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan mental

KEPRIHATINAN warga kampus terhadap isu kesihatan dan kesejahteraan mental dapat membantu masyarakat untuk memberi kefahaman dan pengetahuan kepada mereka.

Sehubungan itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) antara universiti awam yang turut membantu menjayakan program kesedaran kesihatan mental iaitu Program Bersama Komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Jalil Fasa 1 anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kolaborasi Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Pasukan fasilitator daripada Jabatan Psikologi dan Kaunseling UPSI merakam kenangan bersama Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni

Timbalan Menteri Kesihatan, YB Lukanisman Awang Sauni yang merasmikan program berkata dapatan kajian itu menunjukkan masalah kesihatan mental tidak boleh ditangani KKM secara bersendirian sebaliknya memerlukan kerjasama agensi lain yang berkaitan.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Program Bersama Komuniti PPR: Myhealthymind@PPR dan Pelancaran Laporan Kajian Faktor Penyumbang kepada Tekanan Psikologi, Strategi Daya Tindak dan Tingkahlaku Mendapatkan Bantuan Dalam Kalangan Kanak-kanak dan Remaja yang tinggal di PPR Lembah Klang di Dewan Komuniti PPR Pinggiran Bukit Jalil Fasa 1, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni merasmikan Program ‘Bersama Komuniti PPR’ sambil disaksikan Ketua Pembabitan dan Pembangunan Remaja UNICEF, Hayon Nam ( kiri), Dr Muhammad Radzi dan Dr. Manimaran ( kanan)

Menurut Pensyarah Kanan di Fakulti Pembangunan Manusia UPSI, Dr. Wan Nurul Izza Wan Husin, selaku penyelaras aktiviti didik hibur, pihak mereka juga menjemput bekas pesakit mental untuk berkongsi jerih-perih pengalaman mereka dalam berjuang melawan penyakit mental.

Katanya, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat setempat tentang kepentingan isu kesejahteraan mental yang sewajarnya diambil berat oleh setiap individu.

“Perkongsian bersama bekas pesakit dan kupasan daripada ahli psikologi ini diharapkan membantu memecahkan stigma masyarakat yang mempunyai persepsi negatif terhadap pejuang kesihatan mental.

Pembentangan hasil dapatan kajian oleh Siti Nur Farhana Harun, penyelidik dari Institut Peyelidikan Tingkahlaku Kesihatan (IPTK)

Selain itu, katanya, penghuni PPR juga diberikan pendedahan mengenai langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya berdepan dengan masalah kesihatan mental termasuklah mendapatkan sokongan professional disamping sokongan sosial.

Beliau berkata Institut Penyelidikan Tingkahlaku Kesihatan (IPTK), KKM melaksanakan program berkenaan rentetan daripada hasil dapatan kajian yang menunjukkan bahawa 12.3% remaja mengalami masalah kesihatan mental (iaitu kemurungan dan kebimbangan).

Slot aktiviti berkumpulan bersama para ibubapa

Katanya, sebanyak 13.4% remaja didapati mempunyai pemikiran untuk bunuh diri dan mencederakan diri sendiri , malah kajian ini dijalankan ke atas 1,578 kanak-kanak dan remaja di 37 PPR di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pada tahun lalu.

Program itu turut dihadiri, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan; Pengarah IPTK, Dr. Manimaran AL Krishnan, serta Ketua Pembabitan dan Pembangunan Remaja, UNICEF, Hayon Nam.

Pelbagai aktiviti didik hibur (edutainment) menarik yang dijalankan untuk kumpulan ibubapa, remaja dan kanak-kanak dalam membantu mereka meningkatkan kemahiran pengurusan emosi, strategi daya tindak dan kemahiran keibubapaan.

Aktiviti didik hibur turut dikendalikan oleh pensyarah dan mahasiswa daripada Jabatan Psikologi Dan Kaunseling UPSI dan UKM. Selain aktiviti didik hibur, pelbagai pameran berkenaan penjagaan kesihatan fizikal dan mental yang disertai oleh pelbagai agensi turut disediakan seperti senamrobik, cabutan bertuah dan saringan kesihatan secara percuma. – SM

Artikel berkaitan > 3000 kakitangan, mahasiswa imarah Ramadan UPSI sempena program Rabu untuk Qalbu

(Visited 444 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button