Politik

Biarlah Ismail Sabri hendak cakap apa – Hamzah Zainuddin

BUKIT GAMBIR 7 Mac – Pengarah Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak ambil peduli kenyataan Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa Barisan Nasional (BN) mampu menang dengan majoriti dua pertiga pada 12 Mac ini bagi membentuk kerajaan.

“Itu beliau (Ismail Sabri) yang cakap. Saya adalah seorang yang turun ke bawah dan saya bercakap bersama dengan orang kampung.

“Saya tidak bercakap diawang-awangan. Sebaliknya, saya bercakap dari bawah.

“Saya dari PN adalah satu kumpulan yang berhadapan dan bertemu serta menyantuni rakyat dari bawah dan kita tidak duduk di atas dengan awang-awangan,” ujarnya.

Beliau ditanya berhubung kenyataan Ismail Sabri semalam yang menegaskan peluang BN untuk menang di Johor adalah cerah.

Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri ditemui pada program bertemu rakyat bersama calon PN DUN Bukit Gambir, Mohd Solihan Badri di Warung Bedul, Parit Kassan, Bukit Gambir di sini hari ini.

Sebaliknya kata beliau rakyat Bangsa Johor sudah serik dan mahukan perubahan dilakukan menjelang PRN Johor Sabtu ini.

Pengarah PRN Johor itu berkata, dalam beberapa program turun padang yang dilakukannya di beberapa DUN mendapati rakyat tidak kira di kampung atau bandar mengeluh dengan situasi yang berlaku sekarang.

Hamzah menegaskan, rintihan tersebut sudah menunjukkan bahawa rakyat Bangsa Johor sudah sedar kerana apa yang berlaku hari ini telah menyiksakan hidup mereka.

“Kalau orang kampung semua dah cakap macam tu, saya rasa ini memberikan satu perasaan gelombang yang menunjukkan bahawa PN menjadi satu-satunya parti yang akan mempertahankan dari segi intergriti dan maruah negara.

“Kita Malaysia benar-benar dapat menjadi negara dihormati di dunia dan kita tidak mahu lagi kita dipersoalkan dengan banyak perkara-perkara tidak diingini,” ujarnya.

Beliau menegaskan PN dapat menentukan masa depan yang lebih baik untuk Bangsa Johor jika diberi mandat dapat membentuk kerajaan pada 12 Mac ini.

(Visited 315 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button