
Wanita ini tetap tolak teknologi Ai kerana akan hilang daya fikir manusia
DI saat dunia semakin bergantung kepada kecerdasan buatan (AI) untuk mempercepatkan kerja dan menjimatkan kos, masih ada golongan profesional yang tegas menolak penggunaannya atas alasan moral, emosi dan kelestarian alam sekitar.
Antara yang lantang menyuarakan pendirian itu ialah Sabine Zetteler, pengasas agensi komunikasi di London. Bagi Sabine, AI bukan sahaja menghilangkan nilai kemanusiaan dalam kerja, malah merendahkan makna sebenar kreativiti.
“Kenapa saya perlu baca sesuatu yang penulisnya sendiri pun tak sanggup tulis?” katanya, memetik satu frasa yang sangat mencerminkan pendiriannya.
Beliau yang mengetuai pasukan sekitar 10 orang kakitangan menolak penggunaan AI dalam penulisan atau pemasaran agensinya.
“Apa gunanya jika kami hantar hasil kerja yang bukan ditulis sendiri? Di mana nilai kasih sayang, semangat atau kebanggaan terhadap hasil kerja itu? Saya lebih rela kekal kecil tapi bermaruah,” tambahnya.
Kesan Alam Sekitar Jadi Kebimbangan
Pemilik pusat kesihatan Yoga Retreats & More, Florence Achery, turut berkongsi pandangan yang serupa, malah lebih prihatin terhadap kesan AI terhadap alam sekitar.
“Saya terkejut bila tahu pusat data AI menggunakan jumlah tenaga yang sangat besar. Ramai yang tak sedar hakikat itu,” katanya.
Laporan sebelum ini menyebut bahawa satu carian ChatGPT dikatakan menggunakan hampir 10 kali ganda lebih banyak tenaga elektrik berbanding satu carian Google.
Hilangnya Daya Fikir Manusia
Sementara itu di Seattle, Sierra Hansen yang bekerja dalam bidang hal ehwal awam, mempersoalkan kesan AI terhadap kemampuan manusia berfikir secara kritikal.
“Otak manusia wujud untuk menyusun hidup kita, bukan serah semua pada AI Copilot. Kalau semua kita serah pada AI, kita tak berfikir lagi – AI yang buat semuanya untuk kita,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa dia tidak perlukan AI untuk mencipta muzik atau menyusun jadual hariannya.
Akur Kerana Desakan Kerja
Namun, tidak semua mempunyai kebebasan untuk menolak AI. Jackie Adams (bukan nama sebenar), seorang eksekutif pemasaran digital, pada mulanya enggan menggunakan AI atas sebab etika dan alam sekitar.
Tetapi selepas rakan-rakan sepejabat mula menggunakan AI untuk tugasan penulisan dan bajet syarikat dipotong, beliau tidak lagi punya pilihan.
“Kalau saya terus tolak, saya akan ketinggalan. Sekarang saya dah mula guna AI untuk edit gambar dan perkemas penulisan,” katanya.
Malah, banyak syarikat kini meletakkan kemahiran AI sebagai antara keperluan dalam deskripsi kerja.
“Zaman Menolak AI Sudah Berlalu”
Menurut Prof James Brusseau, pakar etika AI dari Pace University, masyarakat kini sedang bergerak ke arah automasi penuh, khususnya dalam bidang seperti ramalan cuaca dan bius perubatan.
“Jika kita masih mahu tahu mengapa satu keputusan dibuat, kita perlukan manusia. Tapi jika kita tak kisah, maka AI akan ambil alih.”
Walaupun terpaksa akur, Jackie mengakui rasa bimbang masih ada.
“Sekarang bila saya cari sesuatu di Google, keluar ringkasan AI. Email pun ada ringkasan automatik. Rasa macam semuanya dah diambil alih – dan kita tak mampu hentikan,” katanya.