Berita

Wanita dijadikan tebusan dalam rompakan bank di Silibin

IPOH 24 Dis – Seorang lelaki bersenjatakan pistol menjadikan pelanggan wanita sebagai tebusan sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM28,000 dalam rompakan di sebuah bank di Taman Rishah dekat Silibin di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, lelaki terbabit menyerbu masuk ke dalam bank berkenaan dan mengacukan senjata yang menyerupai pistol ke arah pelanggan terbabit.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Asisten Komisioner Zaihairul Idrus berkata, ketika kejadian, hanya terdapat tiga pelanggan di premis tersebut sebelum dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki yang memakai topi keledar berpenutup penuh berwarna gelap.

Katanya, lelaki terbabit kemudiannya menggunakan seorang pelanggan wanita berusia lingkungan 50-an sebagai tebusan bagi tujuan mengugut pekerja bank agar menyerahkan sejumlah wang kepadanya.

“Pelanggan wanita itu dijadikan tebusan di mana suspek telah mengacukan senjata menyerupai pistol ke bahagian leher dan kepala mangsa.

“Situasi cemas itu menyebabkan pekerja bank yang berada di kaunter menyerahkan sejumlah wang berjumlah RM28,000 kepada suspek sebelum lelaki itu melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut beliau, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun berlaku tembakan namun mangsa yang mengalami trauma telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan.

Katanya, siasatan awal mendapati premis tersebut mempunyai pengawal keselamatan namun ketika kejadian lelaki itu berada di bahagian ruang pejabat.

“Kita telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati suspek masuk ke dalam premis ini menggunakan pintu di bahagian mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

“Dipercayai terdapat seorang lagi lelaki terlibat dalam kejadian ini di mana dia menunggu rakanny di dalam kereta sebelum mereka melarikan diri,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.-PerakGazette

(Visited 199 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button