Nasional

Lindungi petugas barisan hadapan COVID-19

KITA tidak boleh hanya menunggu bekalan peralatan perlindungan dari China sahaja, sedang barisan hadapan kita terpaksa bertugas tanpa perlindungan sepatutnya daripada wabak COVID-19.

Video tular kakitangan Kementerian Kesihatan terpaksa menggunakan plastik sebagai pelindung kepala, sangat menyedihkan dan memalukan.

Kakitangan berkenaan tidak harus disalahkan, mereka hanya mengambil inisiatif untuk menjaga keselamatan diri.

Lihatlah terbaharu kakitangan Hospital Teluk Intan telah dijangkiti wabak itu dan anggota polis juga telah dijangkiti penyakit tersebut.

Jika barisan hadapan ini jatuh sakit, siapa lagi yang akan menjalankan tugas membendung dan merawat jangkitan wabak?

Maklumat yang berlegar memang terdapat kilang di Sungai Buloh yang mengeluarkan peralatan perlindungan bencana biologi seperti penutup kepala, topeng muka, baju pelindung, sarung tangan dan penutup kasut.

Dimaklumkan juga lori kini beratur untuk mendapatkan bekalan barangan tersebut.

Jika benar pihak berkuasa perlu memeriksa premis berkenaan dan bukannya hanya menjalankan pemeriksaan di pasar raya.

Pastikan mereka ini tidak cuba menyembunyikan keperluan yang mendesak pada masa ini, semata-mata mahu menjualnya pada harga yang lebih tinggi.

Majlis Keselamatan Negara harus memastikan bekalan keperluan itu mencukupi dan memastikan orang tengah tidak mengambil kesempatan dalam keadaan.

Seorang peniaga dalam talian memaklumkan harga topeng muka dijual sesuka hati dan tetap dipesan oleh pelanggan. Bagaimanapun beliau memutuskan untuk tidak menjualnya walaupun untung ratusan ringgit memandangkan keluarganya lebih memerlukan peralatan tersebut dalam situasi ini.

Orang ramai pula janganlah keluar jika tidak mempunyai urusan penting kerana apabila mereka keluar mereka memerlukan alat perlindungan diri dan jika mereka keluar tanpa peralatan sedemikian kemungkinan besar terdedah kepada jangkitan wabak.

Jika jangkitan berterusan ia akan membebankan petugas barisan hadapan khususnya petugas perubatan yang kini sudah cukup terbeban.

Setakat ini Muslimat Pas telah menjahit topeng muka sendiri dan mengagihkan kepada para petugasnya yang membantu orang ramai yang menghadapi kesukaran dalam situasi ini.

Mungkin lebih banyak pihak mengambil peranan sedemikian dan bukan hanya duduk diam tanpa berbuat apa-apa membantu kerajaan serta masyarakat.

(Visited 407 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button