Rencah Hidup

Sumbang RM105,000 keperluan pesakit covid, kisah Neelofa beri katil jadi inspirasi

TERINSPIRASI dengan tindakan selebreti Neelofa baru-baru ini, Asri Ahmad Academy bersama Murtadha Dakwah Centre (Madad) tampil memberi sumbangan mesin perubatan Arterial Blood Gases (ABG) kepada Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Pengarah Urusan Madad, Ustaz Yaakub Yusra Mohd. Yusoff berkata, sumbangan itu dibuat selepas mendapat maklumat berkaitan keperluan segera untuk mesin ABG di beberapa buah hospital di Kedah.

“Kami memang dimaklumkan secara spesifik tentang keperluan segera mesin ABG di tiga hospital ini. Oleh itu dengan sedikit dana yang kami ada, kami cuba bantu sedaya mungkin.

“Hospital tersebut adalah di Alor Setar, Hosputal Jitra dan Hospital Baling, Kedah,” katanya yang menganggap sumbangan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat.

Ustaz Mohmmad Yaakub Yusra menyampaikan sumbangan mesin ABG kepada Timbalan Pengarah Perubatan (4) Hospital Sultanah Bahiyah, Dr Siti Norhani, sambil disaksikan oleh Pengerusi Malaysia Relief Agency Kedah, Dr Mohd Saifullah Alhany.

Menurut Ustaz Yaakub Yusra, baru-baru ini usahawan selebriti, Neelofa juga telah memberi sumbangan katil hospital yang bernilai hampir RM100,000.

Jelasnya, ini membuktikan kemudahan peralatan perubatan amat diperlukan pihak hospital tambahan pula dengan kadar peningkatan Covid-19 kebelakangan ini.

“Sebenarnya, keperluan untuk bantuan perubatan adalah sangat banyak.

“Permintaan juga tinggi kerana lebih banyak ICU dan wad rawatan rapi terpaksa dibuka,” katanya.

Tambahnya, pihaknya juga berharap lebih ramai individu, pertubuhan-pertubuhan mahupun syarikat-syarikat untuk tampil membantu dari segi menyediakan peralatan perubatan.

“Kita ibarat sedang berperang dan wajarlah kita sama-sama mempertahankan kesejahteraan negara kita.

“Lagi cepat pandemik ini dapat ditangani, maka lagi cepat kita boleh menjalani kehidupan kita seperti biasa,” katanya. -SM

(Visited 320 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button