Uncategorized

Wang kepada Zahid untuk dana politik bukan rasuah: Saksi

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis diberitahu wang yang diberikan Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah sumbangan politik.

Ia bukannya rasuah, kata bekas Pengarah UKSB Harry Lee Vui Khun ketika sesi soal balas oleh peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahamd Zahid dalam perbicaraan kes rasuah Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Pada Rabu, Vui Khun memberitahu mahkamah bahawa syarikatnya membayar secara tunai dalam dolar Singapura setiap bulan kepada Ahmad Zahid dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak VLN.

Sementara itum ketika disoal seorang lagi peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal sama ada sumbangan politik itu adalah untuk UMNO, saksi itu berkata, menurut kefahaman beliau ia adalah untuk kerajaan yang memerintah.

Saksi ke-15 pendakwaan itu juga bersetuju dengan Ahmad Zaidi, beliau tidak dapat menerangkan perjalanan beliau atau memberikan bukti menunjukkan beliau ke rumah Ahmad Zahid untuk menyerahkan wang itu.

Ahmad Zaidi: Bila anda ke Country Height, Kajang tiada siapa boleh masuk tanpa kad akses dan pemandu perlu mendaftar di pondok pengawal. Adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertanya kepada awak mengenai butiran itu?

Vui Khun: Tidak

Vui Khun juga bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa SPRM tidak pernah mengarahkan beliau mengemukakan sebarang bukti seperti penyata Touch ‘n Go untuk menunjukkan beliau pergi ke kediaman Ahmad Zahid.

Sebelum ini, semasa membacakan pernyataan saksinya, beliau berkata, UKSB tidak pernah membuat pembayaran dalam akaun UMNO dan tiada resit dikeluarkan atau sebarang pengesahan mengenai pembayaran itu.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB ketika menjadi Menteri Dalam Negeri untuk melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan membekalkan sistem VLN serta mengekalkan perjanjian kontrak bagi membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa meminta SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya serta Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung pada Jumaat. – Bernama

(Visited 235 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button