MahkamahNasional

Wan Saiful minta dibicara, Adam Radlan mengaku tidak bersalah terima rasuah setengah juta

Kes berhubung Program |Jana Wibawa

SEORANG ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad mengaku tidak bersalah atas dakwaan meminta dan menerima rasuah RM500,000 berhubung program Jana Wibawa.

Dia membuat pengakuan itu selepas dua tuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Bagi tuduhan pertama, Adam didakwa meminta suapan wang tunai 3.5% hingga 7% daripada nilai projek diperoleh daripada Pengarah Urusan MIE Infrastruktur dan Energy Sdn Bhd, Mat Jusoh Mamat sebagai dorongan mendapat surat setuju terima bagi projek Jana Wibawa.

Bagi tuduhan kedua pula, Adam didakwa menerima rasuah sebanyak RM500,000 daripada Mat Jusoh sebagai upah mendapatkan sebuah projek pembinaan jalan bernilai RM47.8 juta.

Kedua-dua tuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum bawah Seksyen 24 (1) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Suzana kemudian menetapkan ikat jamin RM120,000 dengan dua orang penjamin.

Beliau juga mengenakan syarat tambahan untuk Adam menyerahkan pasport sehingga kes selesai dibicarakan.

Selain itu, hakim turut memerintahkan Adam melapor diri kepada SPRM setiap bulan sehingga tarikh perbicaraan.

Mahkamah juga menetapkan 23 Mac depan sebagai tarikh sebutan kes..

Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan minta dibicarakan atas dakwaan menerima rasuah hampir RM7 juta berhubung program Jana Wibawa.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen di sini, di hadapan Hakim Azura Alwi.

Beliau juga didakwa meminta suapan melibatkan projek bernilai RM232 juta berkait inisiatif berkenaan.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin hadir di mahkamah bagi memberi sokongan moral kepada Wan Saiful, selain turut kelihatan pimpinan tinggi parti – Hamzah Zainudin, Ronald Kiandee, Radzi Jidin dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Wan Saiful berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda minimum RM10,000, jika sabit kesalahan.

Wan Saiful didakwa menerima RM6.9 juta melalui akaun bank CIMB milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn Bhd, dari akaun Maybank milik Nepturis Sdn Bhd.

Beliau juga dituduh meminta jumlah tidak ditentukan daripada Lian Tan Chuan, di Royal Lake Club, di sini, pada April tahun lalu, sebagai dorongan membantu mendapatkan projek Central Spine Road bernilai RM232 juta daripada kerajaan persekutuan.

Semalam, Wan Saiful dan ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad ditahan SPRM bagi siasatan berhubung Jana Wibawa. –  SUMBER FMT – SM

(Visited 799 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button