Nasional

Kes aktif Covid berkurangan, kes sembuh tinggi

KES aktif Covid-19 yang dirawat berkurangan kepada 10,578 kes selepas 2,112 orang lagi sembuh.

Sementara 1,212 kes baharu dikesan dengan 1,203 merupakan jangkitan tempatan dan sembilan kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 402 kes dengan 204 kes dari kluster sedia ada. Sembilan kes dari kluster baharu iaitu Kluster Jalan Lapan dan Kluster Batu Sembilan.

Sabah negeri kedua tertinggi iaitu 326 kes dengan 111 kes daripada kluster sedia ada, diikuti Negeri Sembilan (141) dan Kuala Lumpur (119).

Menurut Dr. Noor Hisham, seramai 113 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi dan 42 daripada mereka memerlukan bantuan alat pernafasan.

Jumlah kes kematian bertambah kepada 360 orang selepas tiga lagi kematian rekodkan semalam dan hari ini.

Ketiga-tiga kematian melibatkan lelaki iaitu satu kes di Sabah melibatkan kematian lelaki berusia 22 tahun di Hospital Lahad Datu dan seorang berusia 58 tahun yang meninggal dunia di Hospital Labuan.

Seorang lagi mangsa yang berusia 66 tahun meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Sementara itu lima kluster dilaporkan tamat pada hari ini iaitu Kluster Sofi, Kluster Penjara Tapah, Kluster Kapor, Kluster Jambu dan Kluster Meldrum.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 181 kluster termasuk tiga kluster baharu hari ini iaitu Kluster Jalan Lapan, Kluster Batu Sembilan dan Kluster Nibong.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 41 kluster melaporkan pertambahan kes. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Perigi (153 kes), Kluster Bintang (71 kes) dan Kluster Cergas (66 kes).

Kluster baharu itu Kluster Jalan Lapan melibatkan daerah Hulu Langat di Selangor dan daerah Cheras, Kepong, Titiwangsa, dan Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kes indeks (iaitu kes ke-59246) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 25 November 2020 hasil saringan individu bergejala.

Sehingga hari ini sejumlah 306 individu telah disaring, di mana 25 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Kluster Batu Sembilan melibatkan daerah Kuala Langat, Klang, Petaling dan Kuala Selangor di Selangor. Kes indeks (iaitu kes ke-58486) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 24 November 2020 hasil saringan individu bergejala.

Sehingga hari ini sejumlah 83 individu telah disaring, di mana 19 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Kluster Nibon melibatkan daerah Johor Bahru di Johor. Kes indeks (iaitu kes ke- 63151) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 28 November 2020 hasil saringan individu bergejala.

Sehingga hari ini sejumlah 152 individu telah disaring, di mana 10 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.-SM

 

 

(Visited 168 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button