Berita

Walaupun Mahal Cecah RM200, Segelintir Rakyat Tak Kisah Beli Nombor Plat Fancy

Nombor plat fancy atau dalam bahasa lainnya, nombor plat yang tidak mengikut spesifikasi sering dijadikan objek untuk menunjuk-nunjuk.

Ini kerana reka bentuk atau material nombor plat fancy ini kelihatan lebih unik dan menarik tetapi ia sebenarnya menyalahi undang-undang.

Berdasarkan satu tinjauan Suara Merdeka di Seri Kembangan, Selangor, proses pemilikan atau permintaannya bukanlah sesuatu yang sukar.

Pelanggan hanya perlu hadir ke premis yang menyediakan perkhidmatan menghasilkan nombor plat dan terus boleh membuat tempahan serta-merta.

Premis di Seri Kembangan yang menyediakan perkhidmatan nombor plat fancy.

Menurut sumber, terdapat dua jenis material yang sering digunakan oleh pihak premis untuk menghasilkan nombor plat fancy.

“Antaranya ialah dari jenis besi atau jenis bercetak dan mengikut permintaan, harganya boleh mencecah sehingga RM200.

“Kalau nombor plat fancy dengan jenis reka bentuk yang biasa, harganya boleh didapati dalam lingkungan RM100,” katanya kepada Suara Merdeka.

VBM 7777 (tengah) adalah contoh nombor plat fancy jenis bercetak yang berjumlah RM150.00

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan sebanyak 365,410 saman dikeluarkan terhadap pemilik kereta, motosikal, lori, van dan kenderaan pacuan empat roda (4WD) di seluruh negara sejak 2019 hingga 15 Disember lalu atas kesalahan menggunakan nombor plat tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Berdasarkan statistik tersebut, sumber yang ditemui mengakui ‘mereka’ hanya menurut permintaan pelanggan sahaja.

Antara contoh reka bentuk nombor plat fancy yang jelas tidak mematuhi spesifikasi JPJ yang disediakan di premis ini mengikut citarasa pelanggan.

“Tidak dinafikan nombor plat yang mengikut spesifikasi sebenarnya lebih murah. Kalau buat untuk hadapan dan belakang, cuma RM60 sahaja.

“Tetapi bagi pelanggan yang mementingkan gaya dan keunikan, mereka sanggup berbelanja sehingga RM150 untuk mendapatkan nombor plat fancy jenis bercetak dan RM200 untuk jenis besi,” katanya.

WU 691 G (paling atas) adalah contoh nombor plat fancy jenis besi yang berjumlah RM200.00.

Bagi kesalahan mempamerkan nombor plat tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan pada kenderaan, pengguna jalan raya boleh dikenakan kompaun sehingga RM300.

Untuk mengatasi permasalahan ini, tindakan atau cadangan untuk menukar nombor plat normal kepada fancy harus difikirkan semula demi kebaikan bersama! – SM

(Visited 1,742 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button