MahkamahNasional

Ibu Yati, Abdul Hamid Yeop, Noorafiza dihadap ke Mahkamah Syariah Selangor

Berdepan pertuduhan menjelaskan doktrin palsu berkaitan agama Islam

IBU Yati atau pemilik nama sebenar, Wan Norhayati Wan Alias, 42, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor hari ini atas pertuduhan menjelaskan doktrin palsu berkaitan agama Islam termasuk melalui media sosial Facebook.

Ibu Yati dituduh melakukan perbuatan tersebut antara Disember tahun lepas sehingga Februari tahun ini.

Turut dihadapkan ke mahkamah ialah dua lagi individu iaitu Noorafiza Ahmad, 46 dan bekas pensyarah di sebuah universiti awam, Abdul Hamid Yeop Zainuddin, 60.

Mereka juga membuat pengakuan yang sama iaitu tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee @ Shaii.

Ibu Yati yang juga merupakan bekas wartawan dan Noorafiza, masing-masing menghadapi tiga dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995 iaitu menjelaskan doktrin yang bertentangan dengan hukum syarak.

Abdul Hamid pula berdepan dua pertuduhan di bawah seksyen yang sama serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995 kerana mempersendakan ayat al-Quran.

Memetik laporan Astro Awani, di bawah Seksyen 7 Enakmen tersebut, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda RM5,000 atau enam sebatan atau kombinasi kesemua hukuman itu.

Di bawah Seksyen 9 Enakmen yang sama, sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Ibu Yati dan Noorafiza dituduh melakukan kesemua kesalahan itu pada 2 Disember hingga 2 Februari lepas menggunakan akaun Facebook masing-masing.

Sementara Abdul Hamid pula, kira-kira pukul 9 malam pada 2 Februari lalu, bertempat di Taman Dato Razali, Kampung Melayu, Ampang, Selangor menggunakan akaun Facebook melakukan perbuatan yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Zainor Rashid Hassim dan kesemua tertuduh diwakili Peguam Wan Amir Akram Zainal Abidin.

Mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM11,000 kepada Ibu Yati atau Wan Norhayati manakala Noorafiza, RM5,000 dan Abul Hamid, RM9,000 dengan masing-masing, dua penjamin.

Dan kesemua mereka perlu melaporkan diri di Pejabat Agama Islam Daerah terdekat serta dilarang memuat naik apa-apa status dalam media sosial.

Kes Ibu Yati dan Noorafiza akan disebut semula pada 2 November depan manakala kes Abdul Hamid pula akan disebut semula pada 18 Januari tahun depan. – SM

(Visited 875 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button