Politik

Sistem kepimpinan DAP lebih baik daripada UMNO – Chin Tong

DAP mendakwa mempunyai sistem kepimpinan yang lebih baik berbanding UMNO

Pengerusi DAP Johor, Senator Liew Chin Tong mendakwa, tidak seperti UMNO, DAP tidak mempunyai ‘warlord kawasan’ parlimen dan kepimpinan negeri dilantik secara demokratik oleh ahli-ahli.

“Apabila Umno menghapuskan pemilihan kepimpinan negeri, parti itu menggerakkan pemilihannya satu tahap ke bawah, iaitu di peringkat bahagian. Umno kini terperangkap dengan ‘warlord’ bahagian ini.

“Salah satu sebab penting kenapa Umno mereput di peringkat akar umbi adalah kerana pimpinan bahagian tidak mahu melihat ahli-ahli baharu yang bijak dan berkemampuan masuk mencabar mereka.

“Ramai sebenarnya yang sudah melebihi tarikh luput dan ditolak pengundi. Namun mereka terus kekal kerana walaupun tidak dilantik sebagai Ahli Parlimen atau Adun, mereka masih boleh menggunakan kedudukan mereka sebagai ketua bahagian untuk memeras Najib supaya memberikan kontrak atau peruntukan pembangunan kawasan yang dinafikan daripada wakil rakyat pembangkang yang dilantik melalui pilihanraya,” kata Chin Tong.

Menurutnya, berbanding UMNO, DAP tidak mempunyai presiden. DAP mengikut tradisi parti-parti kiri dengan pemimpin nombor satu adalah setiausaha agung.

Chin Tong berkata, Setiausaha Agung DAP setaraf Ketua Pegawai Eksekutif sesebuah organisasi manakala Pengerusi adalah setaraf pengerusi lembaga pengarah.

“Pengerusi bertugas memastikan wujud semak imbang ke atas CEO melalui mesyuarat lembaga – dan dalam kes DAP, mesyuarat ini adalah mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).

“Setiausaha Agung/CEO tidak mempunyai kuasa mutlak. Beliau mempunyai kuasa eksekutif untuk tujuan operasi, namun perlu mengikut keputusan bersama CEC/Lembaga dalam soal-soal dasar.

“Ketiadaan presiden yang berkuasa mutlak adalah suatu rahmat buat DAP. Lihat sahaja kepada UMNO di bawah Datuk Seri Najib Razak dan anda akan faham apa maksud saya,” kata Chin Tong.

Jelas beliau, perwakilan di Kongres Kebangsaan DAP akan melantik 30 orang anggota CEC yang kemudiannya akan melantik setiausaha agung, pengerusi dan mengisi jawatan-jawatan lain sesama mereka.

Beliau turut menjawab tuduhan kononnya sistem DAP tidak demokratik dan perlu diperbaiki kepada sebuah sistem yang membolehkan para perwakilan melantik presiden secara terus sepertimana UMNO, MCA, PKR dan lain-lain.

“Jawapan saya mudah sahaja: Adakah anda mahu menghapuskan sistem parlimen yang diamalkan Malaysia untuk diganti dengan sistem presiden Amerika Syarikat hanya kerana anda merasakan sistem parlimen tidak demokratik?

“Kita melantik 222 ahli Parlimen, di mana salah seorangnya dilantik menjadi perdana menteri. Dalam hal DAP, para perwakilan melantik 30 anggota CEC yang daripada seorang Setiausaha Agung akan dilantik,” kata Chin Tong.

Untuk rekod sepanjang penubuhan UMNO sejak 11 Mei 1946 parti itu telah mempunyai lapan presiden yang silih berganti dengan paling lama oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad selama 22 tahun.

Manakala DAP mempunyai lima setiausaha agung sejak penubuhannya pada Mac 1966 dengan Lim Kit Siang memegang jawatan tersebut selama 30 tahun bermula 1969 hingga 1999.

Kemudian Kerk Kim Hock mengambil alih jawatan itu selama 5 tahun dan selepas itu beliau digantikan dengan anak Kit Siang, Lim Guan Eng pada 2004 hingga sekarang iaitu kira-kira 17 tahun.-SM

 

(Visited 211 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button