Jenayah

Ibu kandung, teman lelaki ditahan dera 2 beradik

Dua beradik lelaki berusia 5 dan 7 tahun disyaki didera ibu mereka serta teman lelakinya dalam satu kejadian di sebuah bengkel dekat Permatang Tinggi, Bukit Mertajam minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Shafee Abdul Samad berkata ibu kandung mangsa dan teman lelakinya ditahan di Perkarangan Hospital Bukit Mertajam kira-kira 3.20 pagi kelmarin.

“Suspek lelaki berusia 28 tahun yang merupakan pemandu lori kini direman 7 hari, manakala suspek wanita, 33 tahun yang merupakan suri rumah sudah dijamin (kerana mengandung),” katanya dalam kenyataan semalam.

Shafee berkata, laporan polis dibuat bapa saudara mangsa selepas mendapati mangsa mempunyai kesan kecederaan seolah-olah dipukul pada beberapa anggota badan dan mengesyaki berlaku penderaan.

“Susulan itu, bapa saudara mangsa yang berusia 39 tahun dan bekerja sebagai eksekutif logistik menghantar kanak-kanak malang itu mendapatkan rawatan di Hospital Bukit Mertajam, sebelum berlakunya tangkapan ke atas kedua-dua suspek yang dipercayai ingin melawat mangsa.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek mengaku mereka memukul mangsa kerana nakal dan degil.”

Katanya, mangsa memberitahu dipukul kedua-dua suspek menggunakan tangan, kayu dan tali pinggang serta polis mendapati terdapat kecederaan seperti lebam di bahagian betis, paha dan punggung kiri mangsa.

“Sebelum ini, mangsa tinggal di asrama Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak Disember lalu sehingga Mac tahun ini, iaitu dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan kemudian dijaga pengadu, iaitu bapa saudaranya.”

Katanya, bapa saudara mangsa kemudian menghantar mangsa kepada ibu kandung mereka pada 24 Jun hingga 3 Julai lalu kerana perlu membawa ibunya untuk temujanji rawatan kesihatan dan tiada siapa yang akan menjaga mangsa.

“Bagaimanapun, setelah anak saudaranya dikembalikan, bapa saudara mangsa mendapati terdapat kesan lebam pada badan mangsa dan mengesyaki anak saudaranya didera.”

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.-SM

(Visited 131 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button