Nasional

Waktu bekerja dikurangkan ke 45 jam seminggu bermula 1 Sept

Waktu bekerja mingguan di Malaysia akan dikurangkan daripada 48 kepada 45 jam berkuat kuasa 1 September ini, kata timbalan menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim di Dewan Negara.

Ini berikutan pindaan kepada Akta Pekerjaan 1955 yang bertujuan menjaga kebajikan pekerja, selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Pindaan itu juga akan membolehkan pekerja bekerja dengan waktu yang fleksibel di mana mereka boleh memilih lokasi, masa dan hari bekerja.

Ini termasuk fleksibiliti untuk bekerja dari rumah semasa kecemasan seperti pandemik Covid-19.

“Setakat ini, belum ada cadangan yang dibuat oleh kementerian berhubung tempoh empat hari bekerja seminggu,” katanya.

Awang berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Nasir Hashim yang bertanyakan mengenai dasar kerajaan mengenai idea empat hari seminggu bekerja khususnya dalam sektor swasta.

Sebelum ini, pekerja dibenarkan memohon pengaturan kerja fleksibel (FWA) daripada majikan selepas pindaan Akta itu berkuat kuasa 1 September.

Menurutnya, pekerja hanya perlu menulis surat kepada majikan mereka untuk meminta sama ada kelonggaran waktu bekerja, atau hari bekerja, atau menukar lokasi bekerja.

“Majikan kemudian mempunyai 60 hari untuk menjawab. Dalam surat menjawab permintaan pekerja, majikan mesti menyatakan dengan jelas sama ada permohonan itu diluluskan atau ditolak, dan sebab penolakan itu juga mesti disertakan.”

Dilaporkan bahawa kira-kira 62 peratus pekerja sepenuh masa di Malaysia lebih suka fleksibiliti bekerja daripada seminggu bekerja singkat selama empat hari, berdasarkan tinjauan dalam talian oleh Qualtrics.

Secara keseluruhannya, 60 peratus daripada penduduk di Asia Tenggara lebih suka fleksibiliti berbanding minggu bekerja yang singkat.

Bagaimanapun, Awang berkata keputusan kerajaan untuk memperkenalkan FWA tidak “mengikat” majikan kerana keputusan untuk meluluskan permintaan itu bergantung kepada kesesuaian syarikat.

Berhubung aturan kerja empat hari seminggu, Awang berkata kementerian bersedia untuk mengkaji idea itu yang katanya telah diamalkan di beberapa negara maju.

Beliau berkata kajian mendalam diperlukan memandangkan sesetengah majikan mungkin menghadapi masalah dari segi produktiviti yang rendah di tempat kerja.

“Oleh itu, majikan juga memerlukan kajian sendiri mengenai perkara ini dan selepas itu, kita boleh bawa untuk perbincangan.”

 

(Visited 3,367 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button