BeritaPendidikan

Pelantikan Raja Puan Muda Perlis sebagai Pro-Canselor UniMAP dilanjutkan

Tempoh pelantikan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dilanjutkan selama lima tahun lagi mulai 13 Disember 2021 yang akan datang ini hingga 12 Disember 2026.

Istiadat penyerahan watikah pemasyhuran semula tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor UniMAP di Auditorium Bangunan Canselori UniMAP, Kampus Alam Pauh Putra pada petang ini.

Hadir sama ialah Naib Canselor Prof Ts Dr Zaliman Sauli dan Pendaftar, Hj Mohd Saad Din.

Pelantikan ini dibuat atas cadangan Senat Universiti dan telah diperakukan oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia. Ia termaktub dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 11(1) Bahagian II, Perlembagaan Universiti Malaysia Perlis (PU. (A) 25/2007].

Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah telah mula dilantik sebagai Pro Canselor sejak 13 Mac 2009 lagi. Pro Canselor berperanan mewakili Canselor mempengerusikan Istiadat Konvokesyen atau menghadiri mana-mana majlis rasmi atas jemputan universiti.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam titah ucapan baginda memberi komitmen sebagai Canselor dan Pro-Canselor, adalah menjadi tanggungjawab untuk baginda berdua terus memayungi UniMAP sekaligus memberi sokongan serta dokongan yang tidak berbelah bahagi agar universiti berkenaan terus menyerlah di persada nasional mahupun antarabangsa.

Baginda turut menzahirkan beberapa perancangan dan komitmen untuk terus memajukan lagi UniMAP, termasuklah membuka lebih banyak peluang kerjasama dengan masyarakat dan agensi luar, menyokong semua aktivitinya dan juga mengamalkan dasar keterbukaan bagi perancangan dan gerakan kecemerlangan universiti.

Tuanku Raja Muda juga berdoa agar seluruh warga universiti sentiasa dirahmati dan diberkati seterusnya UniMAP akan terus maju dan tersohor dalam mendepani cabaran di masa hadapan.

(Visited 575 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button