Nasionalpilihan

Butik Rakyat Rahmah Klebang 4.0 diserbu 1,000 pengunjung

BUTIK Rakyat Rahmah 4.0 terus mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 1,000 pengunjung menyerbu Pusat Transformasi Luar Bandar (RUTC) di Klebang Besar di sini malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar, Datuk Mohd. Yusof Abu Hassan berkata, sebanyak 7,500 helai pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak berjaya diagih-agihkan kepada orang ramai yang berkunjung ke butik berkenaan.

Menurutnya, sejak tersiarnya berita mengenai butik berkenaan memberikan pelbagai jenis pakaian secara percuma, RUTC terus menjadi tumpuan orang ramai setiap hari.

Orang ramai berpusu-pusu memilih pakaian disukai untuk dibawa balik secara percuma di Butik Rakyat Rahmah 4.0, RUTC Klebang, Melaka

Beliau berkata, orang ramai mula beratur panjang di luar pagar RUTC selepas berbuka puasa dan keadaan menjadi sesak apabila selepas solat Isyak.

“Saya tidak sangka sambutan sangat mengalakkan kerana ramai yang datang adalah kali pertama dan teruja mereka mendapat pakaian baju kurung, baju kebaya, baju Melayu dan pakaian kanak-kanak secara percuma.

“Kebanyakan mereka yang ramai datang ke butik ini adalah kali pertama, ada yang datang dari Jasin, Merlimau, Alor Gajah, Masjid Tanah dan Kuala Linggi,” ujarnya ketika ditemui di sini.

Mohd. Yusof berkata, masih banyak pakaian dalam simpanan untuk diberikan kepada orang ramai walaupun tinggal kurang daripada dua minggu sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Beliau berkata, beliau menerima sumbangan 2,000 helai pakaian dan 300 hamper daripada seorang ahli perniagaan dari Selangor, Ally Nawawi baru-baru ini.

Menurutnya, sumbangan tersebut dapat menambah stok pakaian untuk diagih-agihkan kepada orang ramai yang kini berpusu-pusu menyerbu butik tersebut.

“Selain pakaian, kita turut menyumbang beras, pek makanan dan hamper secara percuma kepada orang ramai yang datang ke butik ini,” ujarnya.

Katanya, walaupun pakaian yang disediakan di butik ini adalah yang terpakai namun pakaian yang disumbangkan sebahagian besar adalah baharu.

Sejak dibuka awal Ramadan lalu sebanyak 15,000 helai pakaian seperti baju kurung, baju Melayu, baju kebaya, baju kemeja dan pakaian kanak-kanak telah diagihkan secara percuma. – SM

Artikel berkaitan > ‘Abang Laksa’ pencetus “air akuarium” di Bazar Ramadan Arau

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button