Berita

Tarikan baharu di Perlis untuk dinikmati pelancong

Pemain-pemain industri pelancongan baik dari dalam mahupun luar negara dijemput datang ke Perlis untuk melihat sendiri peluang serta potensi pelaburan dalam sektor berkenaan di negeri ini.

Terkini, antara destinasi terbaru dan menarik dikunjungi ramai di Perlis ialah Galeri 3D Jabatan Perhutanan Negeri Perlis di Gua Kelam dan Street Art 2.0 di Kangar yang dijayakan oleh Persatuan Pelukis Negeri Perlis.

Demikian titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamallulail ketika berkenan berangkat mengadakan kunjungan ke ‘Paradise 101’ yang terletak di Teluk Burau, di barat laut Pulau Langkawi pada sabtu malam.

Keberangkatan baginda yang diiringi Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah bt Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke pulau seluas kira-kira satu hektar buatan manusia berkenaan adalah atas undangan Presiden syarikat NAAM, Datuk Dr Ravi Ponniah yang mengilham dan merealisasikan tarikan baru pelancongan di Langkawi ini.

Datuk Dr Ravi adalah seorang doktor perubatan berasal dari Melaka yang bermastautin di United Kingdom dan kini turut terkenal sebagai seorang usahawan pelancongan.

Difahamkan syarikat beliau NAAM membelanjakan sekitar RM90 juta untuk projek pulau menyeronokkan yang diberi nama ‘Paradise 101’ selepas 99 buah pulau yang sudah wujud di Langkawi serta sebuah lagi pulau persendirian.

Berangkat sama ialah anakanda-anakanda Tuanku Raja Muda iaitu Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah, Puteri Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Sejurus berangkat tiba dengan menaiki bot ke pulau itu, Tuanku Raja Perlis seisi keluarga diraja turut berkenan meluangkan masa untuk menerima mengadap dan beramah mesra serta berfoto kenangan dengan kira-kira 40 orang anak-anak Perlis yang merupakan warga kerja dengan syarikat berkenaan di situ.

Tuanku Syed Sirajuddin turut memuji idea, konsep dan usaha keras yang dilaksanakan oleh pihak NAAM dalam menjayakan projek ‘Paradise 101’ ini. Mengambil kira faktor jarak yang begitu dekat di antara Langkawi dengan Perlis iaitu sejam perjalanan dengan menaiki bot, baginda turut menitahcadangkan agar negeri Perlis dan ‘Paradise 101’ saling bekerjasama untuk mempromosikan pelbagai keistimewaan destinasi masing-masing.

Baginda turut menasihatkan seluruh warga kerja di pulau berkenaan supaya sentiasa bekerja keras dalam satu pasukan dan berdisplin.

(Visited 172 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button