Politik

Visi Muhyiddin dalam MPN boleh jadi harapan jika tidak diganggu

VISI bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin untuk memulihkan negara melalui Majlis Pemulihan Negara (MPN) sekiranya tidak diganggu boleh mengubah krisis menjadi peluang, kekecewaan menjadi harapan dan penderitaan bertukar kepada kemakmuran bersama.

Ucapan penutup Muhyiddin pada Sidang Kemuncak Pemulihan Negara anjuran Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur semalam memberikan keyakinan dan jaminan bahawa perjuangan Malaysia memerangi COVID-19 tidak tergendala sungguhpun berlaku perubahan pada tampuk kepemimpinan kerajaan baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia Azril Mohd Amin berkata, ucapan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN memberi kelegaan kepada banyak pihak.

Ini kerana pendekatan pragmatik dan holistik yang telah digariskan oleh Muhyiddin ketika beliau menjadi Perdana Menteri di bawah Kerajaan Perikatan Nasional akan diteruskan seperti dirancang.

“Setinggi-tinggi penghargaan atas usaha beliau yang menyaksikan hampir dua pertiga penduduk Malaysia telah menerima bantuan tunai, perniagaan dibantu dan golongan rentan telah dilindungi daripada kesan kemelesetan ekonomi paling mencabar dalam sejarah negara kita.

“Menerusi pelbagai inisiatif, tidak kurang daripada lapan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan telah diserahkan.

“Lebih penting, sebilangan besar populasi Malaysia telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 dan kita kini telah mendahului sasaran untuk mencapai imuniti kelompok di bawah pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, yang dilancarkan awal tahun ini,” kata Azril dalam satu kenyataan.

Menurut Azril, apa yang dibentang oleh Muhyiddin menegaskan sekali lagi langkah-langkah ke hadapan untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang dalam memulihkan negara.

Apa yang lebih menyentuh dalam ucapan Muyhddin kata Azril, adalah seruan kepada semua agar bersolidariti dan menyingkirkan apa juga unsur yang boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Tambah beliau, mesej yang disampaikan Muhyiddin kena pada masanya ketika negara semakin menghampiri penghujung krisis kesihatan dan memasuki fasa pemulihan yang panjang.

“Perincian dan butiran untuk menyokong usahawan kecil dan sederhana serta sektor ekonomi yang paling terkesan; bantuan berterusan untuk rakyat; usaha bersepadu untuk menarik pelaburan langsung asing serta domestic; percambahan teknologi dan pendigitan baharu akan membolehkan Malaysia tampil lebih saksama, lestari dan lebih kuat daripada sebelumnya,” katanya.

Muhyiddin semalam menggariskan lima tema utama dalam merangka proses pemulihan menangani impak COVID-19.

Ia termasuk memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan industri berkaitan untuk keluar dari pandemik ke tahap endemik selain bersedia dengan kemungkinan berhadapan pandemik baharu pada masa depan.-SM

(Visited 165 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button