Nasional

Maszlee letak jawatan atas nasihat Perdana Menteri

MENTERI Pendidikan Dr. Maszlee Malik sah meletakkan jawatan atas nasihat Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata demikian dalam sidang akhbar sebentar tadi.

“Saya dilihat bukan melalui pencapaian-pencapaian yang dilakukan selama ini ini. Bukan daripada apa yang kita telah sumbangkan.Apa yang berlaku dalam 20 bulan ini begitu signifikan dilakukan. Namun banyak tajuk berita sensasi dilakukan menjadi pilihan bukan atas kejayaan saya.

“Namun sepertimana saya jelaskan pada awal, saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan terutama melibatkan isu Jawi, internet sekolah dan isu sarapan percuma.

“Walaubagaimanapun saya percaya saya telah meletakkan asas dan hala tuju yang jelas untuk dituruti warga KPM. Ia terhimpun dan tersemat kemas dalam 3 kalimah keramat, ‘Pendidikan Untuk Semua’.

“Saya percaya keputusan ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan yang baharu. Percayalah, reformasi negara tidak akan pernah berjaya tanpa menjadikan kebajikan rakyat sebagai tumpuan paling utama.

“Saya ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada YAB Tun Mahathir kerana telah memberi peluang selama 20 bulan untuk saya mengemudi KPM. Ia adalah hadiah terbaik kepada saya sebagai pendidik dan aktivis akademia.

“Saya juga ingin menyatakan pendirian, sokongan dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada beliau dan parti saya, PPBM.

“Di atas nasihat YAB Perdana Menteri, dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka dengan hati yang redha walaupun berat, saya, Maszlee Malik, dengan ini meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan Malaysia, berkuatkuasa 3 Januari 2020,” kata Maszlee.

Maszlee berkata demikian dalam sidang akhbarnya pukul 4.30 petang tadi. Dalam  sidang akhbar itu Maszlee turut membentangkan kejayaan yang dilakukan kementerian beliau sebelum ini serta rancangan kementerian untuk tahun 2020.

Beberapa portal berita termasuk MalayMail dan FMT melaporkan spekulasi kononnya Maszlee akan meletakkan jawatan selepas pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tengah hari tadi.

Maszlee dan kementeriaannya ketika ini berhadapan dengan serangan beberapa pemimpin DAP termasuk Lim Kit Siang berhubung isu kertas soalan peperiksaan Hubungan Etnik  Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang mengaitkan penceramah dari India, Dr Zakir Naik sebagai ikon dunia Islam.

Menurut Kit Siang, Kementerian Pendidikan mesti bertanggungjawab ke atas kertas peperiksaan kontroversi yang disediakan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), walaupun universiti awam diberi autonomi.

“Ia tak boleh melepaskan tanggungjawab sekiranya kursus hubungan etnik di universiti dan institusi membuatkan salah faham, kecurigaan dan kebencian antara kaum dan antara agama bertambah buruk daripapada mempromosikan toleransi, kepercayaan dan kefahaman di Malaysia yang plural,” kata Lim.

Kenyataan  Kit Siang menyusuli tuduhan-tuduhan daripada pemimpin DAP bahawa Menteri Pendidikan Maszlee Malik gagal mereformasikan universiti-universiti awam.

Kementerian Pendidikan pimpinan Maszlee juga sedangan dilanda kontroversi berkaitan pengenalan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan yang turut ditolak dan dikritik oleh beberapa pemimpin DAP dan persatuan Cina.-SM

(Visited 248 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button