Rencah Hidup

Wira terakhir Perang Dunia ke-2 Ujang meninggal dunia

Veteran Rejimen Askar Melayu Perang Dunia ke-2 Prebet Ujang Mormin dilaporkan meninggal dunia semalam.

Beliau yang dipercayai satu-satunya veteran Perang Dunia Kedua yang masih tinggal meninggal dunia pada usia 100 tahun.

Perjuangan Ujang bersama Allahyarham Leftenan Adnan Saidi menentang tentera Jepun di Singapura diperakui kerajaan British yang mengurniakan pingat War Medal dan Pacific Star bagi perkhidmatan dari 1939 hingga 1945.

Allahyarham turut dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia.

Leftenan Adnan gugur pada 14 Februari 1942 dalam pertempuran di Bukit Chandu manakala Ujang yang mempertahankan kubu di Bukit Chermin mengalami kecederaan akibat serpihan meriam musuh.

Ujang dilahirkan 14 Jun 1921 di Rembau, Negeri Sembilan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin  mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allhayarham dan menyifatkan pemergian Allahyarham satu kehilangan kepada negara.

“Saya mewakili Kerajaan ingin mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Prebet Ujang bin Mormin, atas pemergian veteran tentera dalam era Perang Dunia Kedua ini, pada lewat petang semalam.
“Allahyarham ialah perwira negara yang berjuang bersama-sama pejuang tanah air, Allahyarham Leftenan Adnan Saidi ketika menentang Jepun sekitar tahun 1942. Sesungguhnya pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada negara.
“Saya mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan bersemadi dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Semoga segala jasa serta pengorbanan yang telah dicurahkan arwah mendapat ganjaran sebaik-baiknya daripada Allah SWT. Al-Fatihah,” katanya.

 

Turut menyampaikan ucapan takziah adalah Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

“Alfatihah. Perginya seorang veteran perang yang telah menyumbang bakti kepada negara. Jasamu dikenang.

“Salam takziah buat keluarga Allahyarham PBT Ujang Bin Mormin, Veteran ATM yang telah kembali ke Rahmatullah.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat keatas roh Allahyarham dan menempatkannya bersama dengan roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” kata Ismail Sabri.-SM

 

 

 

(Visited 711 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button