Nasional

Annuar saman MP DAP, Malaysiakini masing-masing RM10 juta

MENTERI Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa mengotakan janjinya untuk menyaman Ahli Parlimen DAP Tan Kok Wai berikutan tuduhan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjual 42 plot tanah dalam tempoh lapan bulan lalu.

Selain Kok Wai, Ahli Parlimen Ketereh itu turut menyaman portal Malaysiakini yang menyiarkan tuduhan Kok Wai melalui laporan bertajuk ‘MP Cheras dakwa 42 tanah DBKL dijual sejak Annuar menjadi menteri’.

Kok Wai yang merupakan Ahli Parlimen Cheras dan Malaysiakini masing-masing disaman RM10 juta.

Notis tuntutan telah dihantar kepada mereka dan telah diterima melalui peguam Shahrul Hamidi & Haziq Advocates & Solicitors.

“Ada yang tanya apakah saya tidak tuntut gantirugi dari mereka yang fitnah saya. Al-Quran menyebut fitnah ini lebih dahsyat dari membunuh. Justeru tiada nilai yang sepadan.

“Saya berkali kali difitnah. Apapun tuntutan tetap dibuat walau nilainya kecil saja. RM10 juta dari yg menuduh dan RM10j dari yang mencetak. Ini terkandung dalam Letter of Demand (LOD),” kata Annuar.

Malaysiakini melaporkan, Kok Wai mendakwa bahawa 42 plot tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah terjual dalam tempoh lapan bulan terakhir Annuar berkhidmat sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Ahli Parlimen Cheras itu mempersoalkan apakah status penjualan ini dan apakah penjualan itu dilakukan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Sebelum itu Annuar telah menafikan tuduhan yang dilemparkan Kok Wai. Annuar berkata, tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah telah menjatuhkan reputasinya serta DBKL.

Tegasnya sehingga kini, beliau sendiri tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada DBKL untuk menjual aset milik pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Saya kecewa dan merasa sangat dukacita dengan dakwaan seorang ahli Parlimen yang sudah begitu lama berperanan sebagai wakil rakyat yang bertindak menyerang wakil rakyat lain, sedangkan beliau ada peluang untuk berucap dalam sidang Dewan Rakyat.

“Oleh kerana beliau memilih untuk berucap di luar Parlimen dan tindakan di luar Parlimen juga tertakluk kepada undang-undang tertentu.

“Jadi saya telah arahkan peguam saya untuk ambil tindakan undang-undang mengikut jalur dan proses sedia ada,” katanya.-SM

(Visited 461 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button