Nasional

COVID-19: Tujuh kes baharu dilapor, tiada penularan tempatan babitkan warganegara

MALAYSIA hari ini mencatat kes COVID-19 satu angka untuk dua hari berturut-turut dengan tiada kes penularan dalam negara melibatkan kalangan warganegara.

BERNAMA melaporkan, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dengan tujuh kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 dalam negara adalah sebanyak 8,336 kes.

“Daripada tujuh kes baharu yang dilaporkan, enam adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Manakala satu kes penularan di dalam negara melibatkan pekerja bukan warganegara (iaitu kes saringan untuk mula berkerja).

“Sukacita dimaklumkan bahawa hari ini, tiada kes penularan dalam negara dicatatkan di kalangan warganegara Malaysia,” katanya pada sidang akhbar harian perkembangan terkini COVID-19 hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini adalah 1,244 kes dan kesemua mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Terdapat 281 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj, yang merupakan jumlah discaj paling tinggi pernah dicatat setakat ini.

Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 6,975 kes, atau 83.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr. Noor Hisham juga berkata, sehingga kini enam kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal 117 kes (1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya. – BERNAMA

(Visited 104 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button