Rencana

Vaksin bukan bermakna wabak sudah berakhir

ulama

TAHUN hadapan 20 peratus atau 6.4 juta penduduk negara ini akan diberi suntikan vaksin COVID-19.

Mereka yang diberi suntikan fasa pertama ini terdiri daripada petugas barisan hadapan dan mereka yang mempunyai imunisasi yang rendah.

Kerajaan telah menandatangani perjanjian dengan Pfizer bagi menjamin perolehan vaksin COVID-19 keluaran syarikat farmaseutikal itu bagi 20 peratus rakyat Malaysia iaitu kira-kira 6.4 juta orang.

Vaksin itu akan diberikan kepada rakyat jika ia terbukti selamat dan berkesan, bermula tahun depan.

Data awal vaksin itu setakat ini menunjukkan tahap keberkesanan setinggi 95 peratus setelah melalui ujian klinikal fasa ketiga ke atas 43,998 orang di seluruh dunia meliputi kanak-kanak seawal 12 tahun sehingga warga emas berusia 85 tahun.

Kerajaan memastikan sebarang vaksin yang akan diberikan kepada rakyat adalah selamat dan berkesan dan kesemua vaksin perlu melalui proses penilaian melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan sebelum ia diberikan kepada rakyat.

Bagaimanapun harus diingat dengan vaksin berkenaan wabak ini bukan bererti lenyap sepenuhnya.

Ia akan terus ada di sekitar kita dan boleh menjangkiti semua orang pada bila-bila masa.

Walaupun kita semua tidak sabar untuk kembali hidup normal dan menjalankan aktiviti harian seperti sebelum pandemik ini, tetapi aspek kesihatan perlu tetap diberi keutamaan.

Penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan kerap menyuci tangan menggunakan cecair yang sesuai harus dijadikan amalan hidup.

Kita masih perlu mengelak daripada berada di dalam tempat yang sesak dan sebagainya.

Setakat ini hanya 20 peratus penduduk negara ini akan diberikan vaksin dan 80 peratus perlu menunggu fasa kedua.

Walaupun jaminan kerajaan vaksin akan diberi percuma, jika terbukti berkesan pastinya banyak klinik swasta akan menawarkan suntikan vaksin tetapi dikenakan bayaran.

Peringkat awal ini harganya akan sangat tinggi, dan akan turun sejajar perjalanan masa.

Selepas ini juga mungkin syarat baharu akan dikenakan kepada mereka yang mahu menaiki penerbangan contohnya perlu mempunyai surat telah mengambil vaksin dari klinik panel diiktiraf.

Begitu juga bagi mereka yang mahu menunaikan haji dan umrah.

Bagaimanapun vaksin ini telah memberi sinar harapan kepada seluruh dunia dan ia akan menghidupkan kembali aktiviti ekonomi yang telah lama lesu dan banyak juga telah mati seperti pelancongan.

Jadi para pengusaha pelancongan mungkin boleh mula mempromosi destinasi dan produk mereka, kerana ketika ini orang ramai di peringkat merancang serta mengenal pasti aktiviti dan destinasi yang mahu dilawati.

Bagi saya pula merancang untuk membina caravan atau motorhome bagi digunakan untuk melancong di dalam negeri dan seterusnya ke luar negara.

Kaedah pelancongan sebegini dapat mengelakkan kebimbangan perlu menginap di hotel dan terpaksa berdepan risiko dijangkiti wabak.

Kita hanya bergerak di dalam kenderaan dan tidur di dalam kenderaan sendiri tanpa berhubung langsung dengan orang lain.

Semoga dengan hadir vaksin kelak perlahan-lahan hidup kita kembali normal dan ekonomi negara pulih bersamanya.

(Visited 180 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button