Nasional

Pemilik haiwan peliharaan harungi banjir deras selamatkan rakan berbulu

BUKAN hanya manusia sahaja yang terjejas dengan kejadian banjir ini malah haiwan juga turut menjadi mangsa banjir yang memerlukan tempat perlindungan dan bantuan bagi menyelamatkan nyawa mereka.

Mereka mungkin basah kuyup, lapar dan dahaga, tetapi haiwan seperti kucing dan anjing peliharaan di Taman Sri Muda tidak pernah ditinggalkan.

Walaupun terpaksa ditinggalkan bersendirian di tempat-tempat tinggi seperti di atas bumbung rumah yang dinaiki air, pemilik mereka yang telah dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat telah kembali dengan segera untuk menyelamatkan haiwan peliharaan mereka.

Memetik laporan Bernama, antaranya ialah Alia Zulaikha Mahmud, 21, dan adiknya, Nur Hazirah Mahmud,14, yang mengharungi air banjir separas pinggang untuk menyelamatkan 11 ekor kucing mereka yang terperangkap di rumah.

“Kami hanya dapat menyelamatkan sembilan ekor sahaja daripada mereka kerana dua lagi telah mati dihempap almari yang jatuh,” kata Alia Zulaikha.

Kejadian banjir yang disebabkan oleh hujan lebat pada hujung minggu lalu telah menenggelamkan rumah satu tingkat dan mencecah tingkat dua bagi kediaman dua tingkat.

Tambah Nur Hazirah, ahli rumah mereka terpaksa membuat keputusan sukar untuk menyelamatkan diri terlebih dahulu sebelum pulang menyelamatkan rakan berbulu mereka.

“Air banjir naik dengan cepat dan sudah berada di paras dada apabila kami memutuskan untuk berpindah lalu meninggalkan kucing di atas almari,” katanya.

Selepas banjir mulai surut sedikit tiga hari kemudian, mereka kembali dengan bot yang disediakan oleh pihak penyelamat untuk mengambil kucing dan beberapa barangan mereka.

Kedua beradik itu berkata kucing mereka kini sedang menumpang di rumah rakan-rakan mereka dan mereka turut bersyukur kerana ahli keluarga dan kebanyakan haiwan peliharaan mereka telah diselamatkan.

“Mereka mungkin haiwan tetapi bagi kami, mereka juga keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pemilik anjing iaitu Shirley Lim, 29, berbelah bahagi sama ada untuk membawa anjing peliharaannya, Loki, bersamanya ke pusat pemindahan banjir apabila penyelamat datang untuk membantu memindahkan keluarganya.

“Saya meminta penyelamat membawa ahli keluarga saya iaitu ibu, bapa dan adik perempuan saya dahulu sementara saya menunggu dengan Loki untuk bot seterusnya datang.

“Bagaimanapun penyelamat mahu saya ikut bersama dengan Loki juga,” katanya.

Lim berkata ibu bapa dan kakaknya dihantar ke pusat pemindahan di sekolah Tamil Emerald Estate manakala dia dan anjingnya tinggal di rumah rakannya.

“Saya tidak mahu membawa anjing saya ke pusat pemindahan kerana ada juga orang Islam di sana.

“Tambahan pula, saya tidak mahu anjing saya menyalak dan kencing serta berak merata-rata di pusat pemindahan,” katanya.

Tambahnya lagi, dia dimaklumkan keesokan harinya bahawa sukarelawan menjalankan klinik veterinar bergerak yang terletak berhampiran pusat pemindahan yang menawarkan rawatan dan makanan percuma untuk haiwan peliharaan.

“Anjing saya sudah tiga hari tidak makan kerana makanannya telah dihanyutkan oleh banjir.

“Saya mendapat bantuan rakan untuk membawa anjing saya ke klinik dan saya berterima kasih kepada semua orang kerana mereka sangat mengambil berat,” katanya. – SM

(Visited 230 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button