Politik

Noraini Ahmad kini Menteri Pengajian Tinggi

KUALA LUMPUR, 9 Mac — Datuk Dr Noraini Ahmad menyaksikan pelbagai pencapaian menarik dalam kerjaya politiknya dengan yang terbaharu dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi dalam barisan Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Noraini merupakan wanita pertama dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi memeriksa dan memantau urusan dan pentadbiran kewangan negara.

Pemilihan beliau pada 11 April tahun lepas sehingga kini adalah bagi menggantikan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Penglibatan selama kira-kira 35 tahun Noraini dalam arena politik negara menjadikan beliau wanita yang kental dan berani melontarkan pandangan dan buah fikiran.

Maka, tidak hairanlah apabila beliau yang sering memperjuangkan isu berkaitan wanita telah diberi mandat menerajui pergerakan Wanita UMNO sejak 24 Jun 2018.

Selain isu wanita, Ahli Parlimen Parit Sulong itu turut menekankan hal berkaitan keusahawan dan menitikberatkan pembangunan luar bandar.

Kariernya dalam bidang politik bermula pada 1985 sebagai ahli Wanita UMNO dan dilantik penolong setiausaha Pergerakan Puteri UMNO yang baru ditubuhkan ketika itu pada 2001.

Beliau menang tanpa bertanding sebagai Naib Ketua Puteri UMNO pada 2002, Noraini juga menang tanpa ditandingi bagi jawatan Ketua Puteri pada 22 Sept 2004 menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang berusia 40 tahun pada Disember 2003 – had umur pergerakan Puteri UMNO.

Anak jati Parit Sulong itu merupakan penyandang kerusi Parlimen Parit Sulong untuk tiga penggal berturut-turut iaitu ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada Mac 2008, PRU-13 pada Mei 2013 dan PRU-14 pada Mei 2018.

 

Berikut adalah biografi Noraini:

 

Nama : Datuk Dr Noraini Ahmad

Suami : Mohamed Jauzi Abdul Razak

Tarikh Lahir : 7 November 1967 (53 tahun)

Tempat Lahir : Kampung Bintang, Peserai Parit Sulong, Johor

Nama anak : 1. Marsya Mohd Jauzi (21 tahun)

2. Amsyar Mohd Jauzi (16 tahun)

 

Pendidikan :

 

1. Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Pembangunan, Universiti Utara Malaysia (UUM)

2. Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Universiti Tun Abdul Razak

3. Ijazah Sarjana Muda Perdagangan (ijazah analisis kuantitatif), University of Saskatchewan, Saskatoon, Canada

 

Politik :

 

Ahli Parlimen Parit Sulong sejak Mac 2008

Ketua Pergerakan Wanita UMNO bagi penggal 2018/2021 sejak 24 Jun 2018

Ketua Pergerakan Puteri UMNO bagi penggal 2004/2007

 

Karier : Dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia – pembentukan barisan Kabinet baharu kerajaan di bawah pentadbiran bekas perdana menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

 

— BERNAMA

(Visited 908 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button