Politik

Usahawan PMKS tak perlu bayar lesen perniagaan – Muhyiddin

SEMUA usahawan yang terlibat dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negeri Johor dikecualikan sepenuhnya membayar lesen perniagaan untuk tempoh lima tahun.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengecualian bayaran lesen perniagaan itu diberi agar usahawan PMKS dapat terus menjadi antara pemangkin utama ekonomi Johor.

“Usaha juga akan dipergiat untuk memperkasakan Johor sebagai hab pengeluaran makanan negara dan menjadikan Johor sebagai hab digital negara dengan menarik pelaburan syarikat teknologi antarabangsa.

“Dengan perancangan yang holistik, lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi dapat ditawarkan untuk rakyat Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Pelaksanaan Ikrar Perikatan Nasional “Demi Bangsa Johor” di Johor Bahru, hari ini.

Muhyiddin berkata, di samping itu, pelbagai aktiviti ekonomi tambahan dalam sektor pertanian, perikanan dan perkhidmatan akan disediakan.

“Perikatan Nasional akan terus berusaha untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat di negeri Johor bagi meringankan beban yang ditanggung.

“Oleh itu, PN menawarkan skim air percuma sebanyak 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah,” katanya.

Tambah beliau, usaha juga akan dilakukan bagi memperluaskan Program Jualan Prihatin Rakyat, meneruskan pengagihan bakul makanan Johor Prihatin secara berkala dan memperkasa penyelarasan  pengagihan bantuan prihatin rakyat bagi memastikan tiada kumpulan yang memerlukan tercicir termasuk OKU.

Katanya lagi, untuk membantu golongan penjaja yang terkesan dengan pandemik Covid-19, bantuan khas kepada penjaja akan disediakan dalam bentuk penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk tempoh selama lima tahun.

“Selain itu, bantuan khas kepada nelayan berdaftar yang terkesan akibat projek pembangunan di pesisir selat Johor juga akan disediakan,” katanya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, bagi merangsang pemulihan ekonomi negeri Johor, Perikatan Nasional menggesa Kerajaan Persekutuan supaya segera membuka sempadan negara.

Berulang kali Muhyiddin menyatakan perkara membuka sempadan negara kepada Kerjaan dan hari ini, beliau mengulanginya.

“Negeri Johor yang bersempadan degan Singapura tentunya akan menerima banyak manfaat limpahan ekonomi apabila sempadan negara dibuka semula.

“Kita akan dapat melihat aktiviti ekonomi negeri Johor terutamanya dalam sektor pelancongan dan peruncitan akan kembali rancak dengan pembukaan sempadan negara.

“Ini tentunya akan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan pendapatan rakyat,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata, pembukaan sempadan juga akan memudahkan urusan rakyat di negeri Johor yang bekerja di Singapura untuk berulang-alik ke tempat kerja dan kembali ke pangkuan keluarga.

Berdasarkan data yang dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kawalan sempadan, kata Muhyiddin, Majlis Pemulihan Negara yang dipengerusikan oleh beliau telah mengesyorkan  kepada Kerajaan Persekutuan supaya sempadan negara dibuka semula seawalnya semalam (1 Mac 2022).

“Syor MPN yang dikemukakan dalam bulan Disember tahun lalu dan bulan Februari tahun ini adalah amat penting untuk mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara.

“Saya berharap kerajaan tidak lagi berlengah atau mengambil masa yang terlalu lama untuk membuka semula sempadan negara kita demi kepentingan perniagaan dan kebajikan rakyat,” katanya.- SM

 

(Visited 317 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button