Nasionalpilihan

Usahawan Halal Mart bimbingan MARA raih nilai jualan RM50 juta setahun

PENGUSAHA Halal Mart berjaya meraih nilai jualan RM50 juta menerusi 2,000 stock keeping unit (sku)  produk yang dipasarkan dalam tempoh setahun sejak mengikuti Program Pembangunan Peruncitan di bawah bimbingan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kejayaan itu dicatat oleh 14 usahawan Halal Mart MARA sekaligus membuktikan industri peruncitan merekodkan pertumbuhan memberangsangkan walau dalam cabaran ekonomi era pandemik COVID-19.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika berucap di Majlis Perasmian Program Pembangunan Peruncitan Halal Mart di MISA Frozen, Taman Desa Cempaka, Nilai, Negeri Sembilan hari ini. Foto: UKK KPLB

“Program Halal Mart ini merupakan satu program pemadanan produk antara pengeluar produk Industri Kecil Sederhana (IKS) bersama pengusaha pasaraya bagi membantu pengeluar memasarkan produk ke pasaran tempatan.

Bagi fasa pertama sebanyak 14 usahawan pengusaha Halal Mart telah dipilih oleh MARA dan telah menampakkan hasil yang amat positif kepada usahawan”.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Pembangunan Peruncitan Halal Mart di MISA Frozen, Taman Desa Cempaka, hari ini.

Turut hadir, Ahli Majlis MARA, Datuk Seri Haji Md Alwi Che Ahmad, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan MARA, Datuk Zulfikri Osman.

MISA Frozen, Taman Desa Cempaka, Nilai, Negeri Sembilan. Foto: UKK KPLB

Jelas Mahdzir, MARA telah menyalurkan dana pembiayaan serta latihan berjumlah hampir RM5 juta kepada 14 usahawan terbabit.

MARA katanya, menyediakan platform perniagaan peruncitan itu bukan sahaja untuk memperkasakan kedai serbaneka tetapi secara tidak langsung menyediakan tempat atau ruang untuk usahawan IKS memasarkan produk mereka.

Pengusaha Halal Mart tambah Mahdzir, telah melalui siri latihan keusahawanan khas yang disediakan oleh pihak MARA bersama pakar dalam industri berkaitan.

Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan dana pembiayaan serta latihan kepada Pengusaha Halal Mart terpilih dalam Program Pembangunan Peruncitan Halal Mart. Foto: UKK KPLB

Siri latihan itu turut meliputi pengurusan operasi syarikat, sistem kewangan, kemudahan pembiayaan dan khidmat perundingan.

“Jadi, saya berharap di masa hadapan kita akan dapat mewujudkan lebih banyak kedai serbaneka berkonsepkan halal terutamanya di luar bandar yang boleh dijadikan pemangkin kepada pembangunan ekonomi mereka sekaligus mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat”, kata Mahdzir. – SM

Artikel berkaitan > KPLB kenal pasti institusi pendidikan MARA rendah capaian internet

(Visited 321 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button